Mahkamah Buruh Bergerak mula beroperasi Ogos ini - Menteri

7 Jan 2026, 8:59 AM
Mahkamah Buruh Bergerak mula beroperasi Ogos ini - Menteri

PUTRAJAYA, 7 JAN: Mahkamah Buruh Bergerak dijangka mula beroperasi pada Ogos ini bagi memudahkan penyelesaian kes buruh khususnya di kawasan luar bandar.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata inisiatif di bawah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) itu akan dimulakan dengan tiga unit kenderaan khas dan peruntukan sebanyak RM5 juta sebelum dilaksanakan secara berperingkat.

“Kami berada di sini untuk memudahkan, bukan menyukarkan. Setiap proses mempunyai kos dan inisiatif ini bertujuan mengurangkan kos bagi semua pihak, sama ada pekerja mahupun majikan.

“Mejelang Ogos ini, pelan pelaksanaan operasi akan dimuktamadkan dan usaha akan dipertingkat bagi memastikan maklumat mengenai Mahkamah Buruh Bergerak disampaikan secara meluas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat dan lawatan kerja ke JTKSM di sini, hari ini.

Menurut beliau, pekerja dan majikan akan dimaklumkan lebih awal mengenai lokasi operasi mahkamah tersebut serta kaedah penyampaian perkhidmatan yang disediakan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan mengadakan kunjungan hormat dan lawatan kerja rasmi ke Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di Putrajaya, hari ini. Foto Pejabat Menteri Sumber Manusia

“Segala perancangan telah dibuat, namun pelaksanaan yang berkesan memerlukan sedikit masa,” katanya.

Ramanan berkata pelaksanaan Mahkamah Buruh Bergerak dijangka menjimatkan masa dan kos, selain memperkukuh akses kepada keadilan buruh melalui pendekatan yang lebih mesra rakyat.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan mahkamah tersebut turut akan diperkukuh melalui pemasangan sistem rakaman digital bagi menyokong proses perbicaraan.

“Selaras dengan agenda pendigitalan nasional, sistem rakaman digital ini dijangka mempercepatkan prosiding, meningkatkan ketelusan serta memastikan pengurusan rekod kes buruh dilaksanakan dengan lebih cekap,” katanya.

Beliau berkata, kementerian kini sedang membangunkan Sistem Pengurusan Buruh Bersepadu berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan peruntukan RM9.26 juta, yang dijangka siap sepenuhnya pada 2028.

“Sistem ini merangkumi penggunaan AI, analitik data, pengkomputeran awan serta chatbot AI, dan akan diperkenalkan secara berperingkat dari 2026 hingga 2028,” katanya.

Tambah beliau, sistem berkenaan dijangka meningkatkan kecekapan operasi serta memudahkan urusan perniagaan dalam kalangan pemain industri.