Operasi LRT3 masih tertangguh, Prasarana akan mesyuarat dengan kontraktor

7 Jan 2026, 8:38 AM
Operasi LRT3 masih tertangguh, Prasarana akan mesyuarat dengan kontraktor

PETALING JAYA, 7 JAN: Kerajaan menerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan mengadakan mesyuarat bersama kontraktor terlibat berhubung kelewatan pengoperasian perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata mesyuarat tersebut akan menentukan tindakan seterusnya, terutamanya mengenai isu teknikal yang masih belum dapat diselesaikan menerusi ujian larian tanpa gagal (FFR).

"Setakat hari ini, masih belum ada tarikh tetap untuk operasi percubaan kerana beberapa isu belum diselesaikan oleh pihak kontraktor dalam FFR.

"Ketika ini hanya tiga set tren LRT3 telah berjaya melengkapkan proses FFR dan selebihnya masih menunggu proses retifikasi diselesaikan oleh kontraktor," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pembentangan Laporan Prestasi Prasarana 2025 dan Pelan 2026 di Dewan Tan Sri Jamaludin Ibrahim, Menara Prasarana di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Kumpulan Prasarana, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan.

Sebelum ini, Ketua Operasi Laluan Shah Alam, Mohd Ariffin Idris memaklumkan terdapat 22 tren menjalani FFR setiap hari yang dipantau secara dekat oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Pada 10 Disember lalu, Prasarana mengesahkan LRT3 Laluan Shah Alam tidak akan memulakan operasi tahun ini susulan keperluan menyelesaikan isu kestabilan sistem dan perisian yang masih dikesan dalam fasa pengujian dan pentauliahan (T&C).

Projek LRT3 Laluan Shah Alam sepanjang 37.8 kilometer (km) menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang membabitkan 26 stesen secara keseluruhan.