Isu Airbnb: Selangor cari keseimbangan antara penduduk dan industri

8 Jan 2026, 12:00 PM
Isu Airbnb: Selangor cari keseimbangan antara penduduk dan industri

SHAH ALAM, 8 JAN: Cadangan pelaksanaan syarat penginapan maksimum 180 malam bagi aktiviti sewaan jangka pendek termasuk Airbnb di Selangor mulai tahun ini kekal, kata EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim.

Beliau menjelaskan cadangan tersebut masih dalam kajian dan semakan bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan industri pelancongan serta kesejahteraan penduduk setempat.

“Sewaan jangka pendek kini menjadi satu model perniagaan baharu yang semakin diterima masyarakat sejajar dengan trend (gaya) global dan menyumbang kepada sektor pelancongan negeri.

“Namun, negeri menerima pelbagai aduan perkhidmatan sewaan jangka pendek seperti di pangsapuri mendatangkan isu bunyi bising, gangguan waktu malam, kehadiran individu luar dan masalah parkir terhad.

“Aduan-aduan ini dilaporkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan perlu ditangani supaya kehidupan harian penduduk tidak terjejas,” katanya kepada Media Selangor.

EXCO Pelancongan Dato' Ng Suee Lim ketika sidang media pengumuman senarai baharu Penyelarasan Kampung Baru dan Ketua Kampung Baru Cina Negeri Selangor di pejabatnya di Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 6 Januari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Dalam masa sama, Suee Lim memberitahu persatuan perhotelan turut menyuarakan kebimbangan mengenai persaingan yang dianggap tidak seimbang kerana mereka tertakluk kepada pelbagai peraturan berbanding pengendali sewaan jangka pendek.

“Negeri mengambil pendekatan inklusif dan seimbang dengan mengkaji mekanisme terbaik untuk menyokong pertumbuhan industri sewaan jangka pendek tanpa menjejaskan kepentingan penduduk dan pemain industri sedia ada.

“Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan ialah menghadkan tempoh sewaan jangka pendek kepada 180 malam setahun, namun ia masih di peringkat kajian dan belum dimuktamadkan,” katanya lagi.

Mulai tahun ini juga, Kerajaan Negeri melaksanakan fi kelestarian penginapan kepada pelancong yang bermalam di hotel dan inap desa di Selangor serta memberi tempoh transisi tiga bulan kepada pengusaha menyesuaikan diri dengan mekanisme baharu itu.

Kadar Fi Kelestarian

Suee Lim berkata semua PBT diminta membuat hebahan melalui pemberian notis kepada pengusaha terlibat selain memberi kelonggaran kepada pengusaha yang lewat melunaskan bayaran fi bagi membolehkan mereka memahami kaedah pelaporan dan pematuhan yang ditetapkan.

Menurut beliau lagi, tempoh tiga bulan itu dianggap mencukupi walaupun terdapat permintaan daripada pemain industri supaya tempoh lebih panjang diberikan.