PETALING JAYA, 7 JAN: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berjaya mengurangkan jumlah gangguan perkhidmatan rel kepada hanya 31 kes sepanjang tahun lalu berbanding 71 kes yang direkodkan pada 2024.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata penurunan sebanyak 56 peratus itu didorong oleh pengukuhan kecekapan operasi serta penambahbaikan ketepatan masa perkhidmatan rel.
“Kejayaan prestasi yang memberangsangkan ini adalah hasil inisiatif yang digerakkan sejak tahun 2021 seperti penyelenggaraan aset yang lebih sistematik dan proaktif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pembentangan Laporan Prestasi Prasarana 2025 dan Pelan 2026 di Menara Prasarana di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Kumpulan Prasarana, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan.

Loke berkata Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya mencatatkan jumlah gangguan tertinggi dengan 16 kes pada tahun lalu, memandangkan ia merupakan laluan rel paling sibuk dengan jumlah penumpang yang tinggi.
Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan gangguan perkhidmatan rel hanya berlaku ketika waktu puncak.
“Kita tidak nafikan ada gangguan, tetapi untuk mengatakan ia berlaku hanya ketika waktu puncak adalah tidak tepat. Gangguan masih berlaku, namun jumlahnya telah menurun.
“Puncanya pelbagai termasuk masalah sistem teknikal, gangguan luaran seperti kecurian kabel serta faktor cuaca seperti dahan pokok jatuh atas landasan dan sebagainya,” katanya.
Menerusi Belanjawan 2026, Pas MyRailLife percuma yang sebelum ini ditawarkan kepada komuniti orang kurang upaya (OKU) dan murid sekolah kini diperluaskan kepada kanak-kanak berusia bawah enam tahun.
Pas berkenaan melibatkan perkhidmatan KTM Komuter dan Shuttle Diesel Multiple Unit (DMU) sebagai usaha memperluas akses pengangkutan awam kepada golongan sasaran.


