SHAH ALAM, 7 JAN: Seorang pengusaha restoran makanan barat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Bukit Mertajam, hari ini atas pertuduhan melanggar seorang doktor sehingga menyebabkan kecederaan pada 28 Disember lalu.
Tertuduh, Khor Wei Yeak, 32, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit, lapor Berita Harian.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang cahaya mata itu didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap L Avinash, 32, dengan melanggar mangsa menggunakan sebuah kereta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lorong Ketiga Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) Plaza Tol Perai dalam daerah Seberang Perai Tengah, jam 11.30 malam pada 28 Disember lalu.
Pendakwaan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun, manakala tertuduh diwakili C Hari Prassaad Rao.
Semasa prosiding, Siti Nur Amalina menawarkan ikat jamin RM8,000 namun peguam tertuduh merayu jaminan minimum dikenakan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mac depan sebagai tarikh serahan laporan perubatan.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki cedera dilanggar kereta di plaza tol selepas keluar meminta pemandu di belakang mengundur ketika kenderaan dipandu isterinya 'tersangkut' di lorong RFID.
Isteri lelaki itu yang berusia 31 tahun kemudian tampil membuat laporan insiden itu jam 11.30 malam.
Wanita berkenaan dalam laporannya berkata, suaminya keluar dari kenderaan mereka dan meminta kereta di belakang mengundur supaya dia dapat keluar dari lorong RFID itu selepas mendapat amaran tag tidak sah.
Namun, pertengkaran tercetus antara dua lelaki berkenaan sebelum suspek melanggar belakang kenderaan dinaiki suami isteri itu sebelum beredar meninggalkan tempat kejadian.
Wanita itu tidak mengalami kecederaan tetapi suaminya mendapat rawatan di Hospital Bukit Mertajam (HBM) akibat cedera di lengan kiri, rusuk kiri dan kaki kanan.


