AMPANG JAYA: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan memberi keutamaan kepada kesiapsiagaan pelancongan, projek pembangunan semula serta kawal selia lebih ketat terhadap peniaga kecil sepanjang tahun ini.
Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata dasar dan perbelanjaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu diselaraskan dengan beberapa acara utama termasuk Tahun Melawat Malaysia 2026, Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
“Fokus utama kami adalah memastikan Ampang Jaya bersedia dari segi pelancongan, pembangunan bandar dan pengurusan aktiviti ekonomi kecil menjelang acara berskala besar,” katanya seperti dilapor StarMetro.
Menurut beliau, MPAJ memperuntukkan RM185.40 juta bagi tahun 2026, merangkumi RM126.13 juta untuk kos operasi dan RM59.27 juta bagi perbelanjaan pembangunan meliputi kerja infrastruktur, program komupniti, kemudahan awam serta pengurusan sisa pepejal.
Hasrolnizam berkata MPAJ telah memulakan persediaan bagi memperkukuh elemen pelancongan, khususnya berkaitan dengan kawasan Geopark Gombak–Hulu Langat.
“Usaha ini bukan sekadar promosi, tetapi membina ekosistem pelancongan yang tersusun dan lestari untuk jangka panjang,” katanya.
Menurutnya, MPAJ sedang berunding dengan pihak berkepentingan serta menggubal garis panduan perniagaan tepi sungai yang dijangka siap pada separuh pertama tahun ini sebagai usaha meningkatkan profil pelancongan Ampang Jaya.
Selain itu, perancangan pembangunan semula Kampung Fajar dan Kampung Warisan di Hulu Kelang dijangka dilaksanakan tahun ini tertakluk kepada kesediaan penduduk terlibat.

Beliau berkata Kerajaan Negeri bersedia melaksanakan pembangunan perumahan di tapak sedia ada dengan unit rumah akan ditawarkan kepada penduduk layak pada harga mampu milik.
Katanya, MPAJ ditugaskan menyelaras bancian serta mengenal pasti penduduk yang layak di Kampung Fajar dan Kampung Warisan.
Kerajaan Negeri memperuntukkan RM60 juta bagi pembangunan semula kedua-dua kampung itu melibatkan pembinaan pangsapuri berkeluasan 1,000 kaki persegi dengan harga RM200,000 seunit.
Menyentuh isu operasi, Hasrolnizam berkata MPAJ akan memberi tumpuan kepada dua masalah utama pada separuh pertama 2026 iaitu kenderaan terbiar dan aktiviti peniaga kecil yang tidak terkawal.
Menurutnya, kekangan utama pengurusan kenderaan terbiar ialah kekurangan ruang simpanan, justeru MPAJ bercadang bekerjasama dengan pemilik tanah dan pemaju untuk mengenal pasti tanah belum dibangunkan sebagai depot sementara.
Dalam usaha mengawal selia peniaga kecil, beliau berkata MPAJ tidak berniat menafikan peluang ekonomi, sebaliknya mahu mewujudkan struktur dan peraturan yang lebih jelas.
Katanya, satu pelan induk merangkumi jenis aktiviti, lokasi sesuai, bilangan peniaga dan peraturan perniagaan sedang dirangka dan dijangka siap menjelang Jun.
MPAJ turut meneruskan pelaksanaan program komuniti, sukan dan kelestarian alam sekitar termasuk hari tanpa kenderaan, acara geopark, larian Melawati serta kerja penstabilan cerun di kawasan berisiko berdasarkan data LiDAR.


