SHAH ALAM, 6 JAN: Kenaikan mendadak harga tembaga mencetuskan peningkatan kes kecurian dan vandalisme, termasuk kerosakan infrastruktur awam akibat kegiatan pengutip logam terpakai.
Harga tembaga kini melonjak lebih dua kali ganda berbanding setahun lalu, mencecah sehingga RM42 sekilogram, sekali gus merancakkan aktiviti kutipan dan jual beli logam terpakai.
Situasi itu turut menyaksikan peningkatan penglibatan pengutip tidak berlesen, khususnya warga asing, yang menjejaskan pengumpul logam terpakai berlesen akibat persaingan tidak adil.
Presiden Persatuan Peniaga dan Pengitar Semula Logam India Malaysia, Datuk Seri RS Arumugham berkata peningkatan kecurian dan vandalisme infrastruktur awam didorong aktiviti pengutip logam haram, dengan sebahagian besarnya melibatkan warga asing termasuk pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Menurutnya, kebanyakan pengutip terbabit bergerak tanpa premis tetap, sekali gus menyukarkan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.
“Mereka menawarkan harga lebih tinggi kerana kos operasi yang rendah, sekali gus menjejaskan pengusaha berlesen yang perlu mematuhi lesen, cukai, piawaian keselamatan dan peraturan lain.
“Keadaan itu turut menjejaskan imej industri logam terpakai apabila kes kecurian sering dikaitkan dengan keseluruhan sektor, walaupun melibatkan pihak tidak berlesen,” katanya seperti dilaporkan StarMetro.
Arumugham menegaskan pengusaha besi buruk berlesen tidak dibenarkan membeli barangan seperti kabel telekomunikasi, kabel elektrik, penutup longkang dan papan tanda kerana ia merupakan harta kerajaan atau syarikat utiliti.
Katanya, pemilikan atau perdagangan barangan berkenaan tanpa kebenaran merupakan satu kesalahan jenayah dan pengusaha berlesen diwajibkan menolak serta melaporkan sebarang tawaran mencurigakan.
Sehubungan itu, beliau menyarankan larangan transaksi tunai bagi pembelian logam terpakai di seluruh negara, selain mewajibkan pengenalan diri penjual bagi mengesan rantaian jualan logam curi.
Menurutnya, langkah sedemikian terbukti berkesan di beberapa negara dalam mengurangkan kes kecurian kabel dan vandalisme infrastruktur awam.
Sementara itu, seorang penduduk Kajang, S Rajan berkata pengutip logam warga asing kini mudah ditemui di sekitar Lembah Klang, mengutip barangan seperti tin aluminium, wayar tembaga dan besi menggunakan motosikal sidecar.
Beliau mendakwa terdapat pengutip yang mengambil barangan logam yang ditinggalkan di luar rumah tanpa kebenaran, selain membeli terus daripada penduduk, pekerja tapak pembinaan dan kilang.
“Berdasarkan perbualan dengan pengutip terbabit, mereka menawarkan harga lebih rendah berbanding pengumpul berlesen dan mampu memperoleh pendapatan purata RM200 sehari,” katanya.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa kes kecurian kabel telekomunikasi dan elektrik dilaporkan, termasuk insiden yang dirakam dan kemudian tular di media sosial.


