SEPANG, 6 JAN: Daerah Sepang dikenal pasti oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebagai antara kawasan paling penting dalam pertumbuhan ekonomi Selangor, dengan struktur ekonomi yang pelbagai.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata kedudukan strategik Sepang disokong oleh kemudahan utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Cyberjaya, yang menjadi pusat kepada industri penerbangan, logistik, perkhidmatan dan teknologi.
Menurutnya, aktiviti perniagaan di Sepang bukan hanya tertumpu kepada perkhidmatan dan perdagangan, malah turut menarik pelaburan melalui projek berskala besar seperti KLIA Aeropolis dan Selangor Aero Park (SAP).
“Projek ini dijangka menjadi pusat industri aeroangkasa, logistik dan pembuatan berkemahiran tinggi, sekali gus membuka peluang pekerjaan yang lebih berkualiti,” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran Banci Ekonomi 2026 (BE2026), hari ini.
Beliau berkata banci itu akan dijalankan dari 5 Januari hingga 31 Oktober bagi mengumpul data penting untuk membantu kerajaan merangka dasar ekonomi yang lebih tepat, inklusif dan mampan.
BE2026 bertujuan memberi gambaran menyeluruh tentang keadaan ekonomi negara berdasarkan data tahun 2025, melibatkan 1.34 juta perniagaan dan organisasi di seluruh negara.
Uzir berkata ekonomi Sepang turut disokong oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya di kawasan Dengkil, Kota Warisan, Salak Tinggi dan Sungai Pelek.
Aktiviti utama melibatkan perkhidmatan sokongan logistik, peruncitan, makanan dan minuman, penginapan serta penyelenggaraan.
“Kehadiran industri besar di Sepang memberi kesan positif kepada PMKS tempatan yang berperanan sebagai pembekal dan penyedia perkhidmatan sokongan,” katanya.
Sebanyak 11,622 perniagaan di Sepang dijangka terlibat dalam BE2026, dengan majoritinya terdiri daripada perniagaan mikro.
Daripada jumlah itu, sektor perkhidmatan mencatatkan bilangan tertinggi, diikuti sektor pembinaan, pembuatan dan pertanian.
Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 1.34 juta perniagaan dan organisasi di seluruh negara, dengan 308,000 daripadanya berada di Selangor.
Uzir berkata BE2026 akan dilaksanakan dalam tiga fasa menggunakan pelbagai kaedah, termasuk borang dalam talian, e-mel, telefon dan temu bual bersemuka bagi memastikan data yang dikumpul tepat dan menyeluruh.
Beliau turut menggesa semua pihak terlibat agar memberikan kerjasama penuh sepanjang tempoh banci demi memastikan data yang diperoleh berkualiti dan boleh digunakan untuk perancangan ekonomi negara.


