SHAH ALAM, 6 JAN: Dua pegawai dan lima anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh yang ditahan kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah pada 3 Januari lalu, sudah dikenakan tindakan tatatertib.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata mereka yang berusia antara 29 hingga 42 tahun itu ditukarkan ke bahagian pengurusan sementara menunggu hasil siasatan, lapor Berita Harian.
"Saya sedih dalam keadaan ini dan tidak berkompromi serta bertoleransi terhadap mereka yang terbabit. Mereka ini seperti harapkan pagar, pagar makan padi. Sebagai benteng pertahanan, kita tidak mahu ada pegawai dan anggota terbabit dalam kes seperti ini.
"Kita akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka dan setakat ni kes masih dalam siasatan lanjut," katanya ketika ditemui media pada Program Perhimpunan Bulanan Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini hari ini.
Pada 3 Januari lalu, dua pegawai berpangkat Inspektor dan lima anggota, ditahan bersama seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga Thailand hasil serbuan ke atas sebuah premis di Mentakab, Temerloh kira-kira jam 2.15 pagi.
Lelaki tempatan dan dua wanita warga Thailand ditahan itu berusia 22 dan 37 tahun.
Saringan ujian air kencing seorang pegawai dan lima anggota terbabit didapati positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamin dan benzo manakala lelaki tempatan dan wanita warga Thailand itu turut disahkan positif.
Saringan air kencing ke atas seorang lagi pegawai polis dan seorang lagi wanita warga Thailand didapati negatif.
Mengulas dua status dua warga Thailand, Yahaya berkata, mereka mempunyai dokumen sah dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Terdahulu, ketika berucap pada perhimpunan itu, beliau mengingatkan semua pegawai an anggota Pahang mematuhi semua arahan pucuk pimpinan dalam menentukan tiada pelanggaran tatatertib bagi kesalahan yang boleh mencemar imej pasukan.
"Peringatan demi peringatan disampaikan kepada setiap lapisan pegawai, anggota dan pegawai awam supaya mematuhi arahan berkaitan Larangan Mengunjungi Pusat Hiburan
dan Penyalahgunaan Dadah.
"Namun masih ada lagi yang tegar apabila melihat statistik pada 2025, seramai 21 anggota terbabit dalam penyalahgunaan dadah manakala 12 atas kesalahan mengunjungi pusat hiburan.
"Sebagai penguatkuasa undang-undang, kita adalah benteng hadapan negara, amat mendukacitakan sekiranya banteng yang diharapkan rupanya rapuh dari dalam.
"Penyalahgunaan dadah dalam kalangan warga polis bukan sahaja merosakkan diri dan keluarga, malah ia satu pengkhianatan kepada amanah rakyat dan kedaulatan negara," katanya.


