Kelulusan program LiKES dipercepat 14 hari, sasar manfaat 25,000 pelatih

6 Jan 2026, 7:15 AM
Kelulusan program LiKES dipercepat 14 hari, sasar manfaat 25,000 pelatih

SHAH ALAM, 6 JAN: Kerajaan mempercepatkan proses kelulusan Geran Padanan Latihan Industri Kecil dan Sederhana (LiKES) kepada hanya 14 hari bekerja, berbanding 90 hari sebelum ini sebagai usaha meningkatkan kebolehpasaran belia dan memenuhi keperluan tenaga mahir industri.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, berkata selain mempercepatkan proses, kerajaan turut memperkenalkan pembayaran pendahuluan RM2,000 untuk setiap pelatih yang akan disalurkan melalui syarikat terbabit, lapor Berita Harian.

"Program ini menggunakan konsep bayar dan tuntut semula. Pelaksanaan pembayaran pendahuluan RM2,000 ini akan bermula 1 Mac ini dan syarikat boleh menerima bayaran dalam tempoh 14 hari bekerja.

"Bagaimanapun, ia tertakluk kepada pematuhan syarat dan dokumen lengkap yang ditetapkan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat TalentCorp, di Petaling Jaya, hari ini.

Ramanan memaklumkan program berkenaan membabitkan peruntukan RM30 juta bagi tempoh tiga tahun dengan sasaran bakal memberi manfaat kepada 25,000 pelatih tempatan.

Katanya, pemberian pendahuluan RM2,000 itu dilihat dapat membantu syarikat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menampung kos latihan pada peringkat awal.

Mengulas lanjut Ramanan berkata, MyMahir Future Skills Talent Council (FSTC) turut memperkenalkan pendekatan berasaskan industri, yang mana keperluan kemahiran ditentukan oleh industri sendiri bagi memastikan latihan benar-benar membawa kepada peluang pekerjaan.

"Rangka kerja ini sudah diiktiraf oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan terbukti mengurangkan ketidakpadanan kemahiran serta meningkatkan gaji permulaan peserta.

"Syarikat yang mencalonkan pelatih adalah pihak yang akan menyerap mereka semula selepas latihan. Ini bukan sekadar latihan, tetapi satu laluan terus kepada pekerjaan.

"Inisiatif itu selari dengan komitmen Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk memperkukuh ekosistem bakat negara dan menggalakkan golongan belia merebut peluang latihan berasaskan industri.