SHAH ALAM, 9 JAN: Penyalahgunaan dadah era baharu semakin membimbangkan apabila lebih 70 peratus bahan yang disalahgunakan kini terdiri daripada dadah sintetik yang sukar dikesan.
Keadaan ini memberi kesan serius terhadap kesihatan mental dan turut menggugat keharmonian institusi keluarga di Selangor.
Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor, Nazir Mohammad berkata corak penagihan dadah masa kini jauh berbeza berbanding dahulu, selari dengan perubahan gaya hidup masyarakat.
Menurut beliau, sekitar era 1980-an hingga awal 1990-an, penyalahgunaan dadah lebih banyak melibatkan dadah jenis opiat seperti Heroin Dan Morfin yang mudah dikenal pasti melalui perubahan fizikal, termasuk kesan suntikan.
“Situasi dadah dahulu dan sekarang memang berbeza. Hari ini, lebih 70 peratus dadah yang disalahgunakan ialah dadah sintetik yang tidak lagi menunjukkan kesan fizikal yang jelas.
“Dadah ini hadir dalam pelbagai bentuk dan sukar dikenal pasti, termasuk oleh ibu bapa,” katanya ketika hadir ke program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Nazir berkata, keadaan itu menyebabkan ramai individu terjebak secara senyap tanpa disedari, terutama apabila masyarakat tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai bahaya dadah sintetik.
Beliau menjelaskan, ancaman dadah masa kini lebih berbahaya kerana kebergantungannya lebih kepada psikologi berbanding fizikal.
“Pengguna akan merasa ketagih dari segi emosi dan fikiran. Apabila tidak mengambil dadah, mereka boleh mengalami tekanan, kemurungan dan gangguan kesihatan mental,” katanya.
Menurut beliau, kebanyakan kes melibatkan dadah jenis amphetamine-type stimulant (ATS) dan methamphetamine, yang sering dikaitkan dengan kes jenayah dan keganasan rumah tangga.
“Dalam banyak kes, ujian saringan air kencing mendapati pelaku positif dadah jenis ini,” katanya.
Nazir turut memaklumkan bahawa kemunculan bahan baharu dikenali sebagai New Psychoactive Substances (NPS) menambah tahap kebimbangan kerana kandungannya sukar dikenal pasti.
“Bahan ini boleh memberi kesan lebih berbahaya kepada sistem saraf dan kesihatan mental pengguna,” katanya.
Beliau menegaskan, kegagalan menangani masalah dadah sejak awal boleh membawa kesan jangka panjang, termasuk merosakkan institusi keluarga dan mencetuskan pelbagai masalah sosial.
“Masalah dadah ini benar-benar berlaku di Selangor. Jika kita tidak mengalaminya sendiri, mungkin kerana ia belum berlaku dalam keluarga atau lingkungan terdekat.
“Masyarakat perlu lebih peka, mengenali rakan anak-anak dan memastikan mereka berada dalam persekitaran yang sihat.
"Semua pihak perlu bekerjasama bagi memastikan generasi akan datang bebas daripada ancaman dadah,” katanya.


