SHAH ALAM, 6 JAN: Hasrat seorang lelaki membuat persiapan terakhir menjelang perkahwinannya berakhir tragedi apabila dia maut selepas disengat tebuan ketika membersihkan rumah di Kampung Sungai Semungkis, Batu 14, di Hulu Langat pada 30 Disember lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Abdul Hamid Mohd Taufek, 29, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Batu 14, pada hari yang sama.
Rakan mangsa, Khairul Affendi Rahim, 36, berkata sebelum kejadian, Abdul Hamid sempat menunaikan solat Zuhur berjemaah di surau sebelum pulang ke rumah untuk mengemas bagi persiapan perkahwinannya.
“Sebelum kejadian, arwah sempat solat Zuhur berjemaah di surau sebelum pulang ke rumah untuk membersihkan rumah,” katanya seperti dilapor BH.
Menurut Khairul, ketika kejadian Abdul Hamid sedang menunggu kehadiran juruteknik untuk melakukan kerja penyelenggaraan penyaman udara di rumahnya.
“Saya dimaklumkan ketika mengemas rumah, arwah disengat tebuan tanah ketika membuka ruang penyaman udara di luar rumahnya,” katanya.
Katanya, selepas disengat, mangsa sempat bergegas ke rumah jiran untuk memaklumkan kejadian sebelum pengsan beberapa minit kemudian.
“Tidak lama selepas disengat (tebuan), arwah bergegas ke rumah jiran dan maklumkan berkenaan perkara itu sebelum pengsan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Batu 14 untuk rawatan lanjut,” katanya.
Khairul berkata, Abdul Hamid diberikan bantuan kecemasan pernafasan (CPR) selama kira-kira 30 minit sebelum disahkan meninggal dunia.
“Hasil pemeriksaan di rumahnya mendapati terdapat sarang tebuan tanah di dalam komponen pemampat penyaman udara di luar rumahnya. Kami percaya dia diserang tebuan dalam sarang berkenaan,” katanya.
Tambahnya, pihak keluarga masih menunggu keputusan bedah siasat, namun difahamkan masalah resdung serta alahan terhadap makanan laut mungkin menyebabkan bisa tebuan merebak dengan cepat dalam badan mangsa.
Abdul Hamid merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan tinggal berdua bersama neneknya selepas kematian ibu dan bapanya beberapa tahun lalu, selain bekerja di sebuah syarikat swasta.
Dia sepatutnya melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya pada 23 Januari ini dan dikenali sebagai seorang yang warak serta aktif dalam aktiviti keagamaan di Surau Ahmadiah Diniah, Kampung Sungai Semungkis.



