SHAH ALAM, 6 DIS: Proses pemutihan inap desa disambut baik oleh orang ramai yang bersetuju dengan kewujudan inap desa berdaftar bagi menjamin keselamatan serta keselesaan pelancong dan penginap.
Ahmad Taufik, 58, berkata langkah pemutihan inap desa dapat meningkatkan tahap keselamatan pelancong kerana pengoperasian secara berdaftar dan berlesen membolehkan pematuhan terhadap piawaian keselamatan yang ditetapkan.
“Pelancong, khususnya dari luar kawasan, akan mengutamakan aspek keselamatan inap desa bagi keluarga mereka sebelum membuat sebarang tempahan.
“Selain itu, ia memudahkan orang ramai membuat carian serta mendapatkan maklumat terperinci mengenai senarai inap desa yang berdaftar,” katanya.

Sementara itu, Mazlan Ismail, 45, berpendapat proses pemutihan inap desa memudahkan orang ramai membuat tinjauan menerusi laman sesawang serta membuat penilaian berdasarkan maklumat, gambar dan maklum balas sebelum membuat tempahan.
“Tempahan secara dalam talian membolehkan orang ramai melihat maklumat inap desa dengan lebih terperinci, termasuk paparan gambar, sekali gus menilai kesesuaian sebelum membuat keputusan,” katanya kepada Media Selangor.
Mazlan turut berkata, pemutihan inap desa dapat menjamin keselamatan penginap selain menyediakan saluran rujukan sekiranya berlaku penipuan atau pengoperasian yang tidak mematuhi piawaian keselamatan.
Dalam pada itu, Rosminiliana Azemi, 42, menyifatkan inisiatif pemutihan inap desa sebagai langkah positif dalam mewujudkan platform inap desa berdaftar yang memudahkan pelancong membuat carian serta merancang perbelanjaan dengan lebih teratur.

“Saya amat bersetuju kerana ia memudahkan orang ramai membuat carian, termasuk melalui media sosial, selain membantu perancangan perbelanjaan lebih awal.
“Kewujudan inap desa berdaftar juga membolehkan pelancong menyalurkan aduan sekiranya berlaku penipuan atau insiden tidak diingini,” katanya.
Pandangan sama dikongsi Suriyani Said, 42, yang berpendapat pemutihan inap desa membantu orang ramai mengenal pasti inap desa berdaftar berbanding penginapan yang beroperasi secara tidak berlesen, selain membantu promosi yang lebih meluas.
“Selain menjamin keselamatan daripada risiko seperti kemalangan, inap desa berdaftar memudahkan orang ramai mendapatkan senarai penginapan yang selamat,” kata anak kelahiran Kuala Selangor itu.

Terdahulu, EXCO Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim memaklumkan Kerajaan Negeri akan memulakan proses pemutihan inap desa dengan Sabak Bernam sebagai lokasi pertama.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan pengusaha beroperasi secara sah, mematuhi syarat penggunaan tanah serta memudahkan pemantauan sekiranya berlaku sebarang insiden tidak diingini.


