SHAH ALAM, 5 JAN: Jemaah Menteri dan semua kementerian diarahkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penyediaan draf awa jawapan surat rasmi, sebagai langkah mempercepat serta meningkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penggunaan teknologi itu berperanan sebagai permulaan sebelum disemak, diperbetul dan disahkan melalui input serta pertimbangan peribadi pegawai berkaitan.
Menurutnya, semua kementerian juga diarahkan melaksanakan urusan pentadbiran secara dalam talian sepenuhnya, tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada.

“Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam memastikan sistem pentadbiran bergerak secara cekap dan bersih, dengan pemantauan rapi oleh setiap ketua setiausaha kementerian serta ketua jabatan.
“Rakyat menuntut perkhidmatan yang pantas dan berkualiti. Amalan menunggu surat panjang serta keperluan mengisi terlalu banyak borang yang menyulitkan perlu diperbetulkan,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2026.
Anwar menegaskan pendekatan digital berteraskan AI bukan sahaja menjimatkan masa, malah mampu meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan serta kecekapan keseluruhan sistem pentadbiran kerajaan.
Sebelum ini, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan menyasarkan pelaksanaan perkhidmatan kerajaan secara dalam talian sehingga 95 peratus menjelang 2030.
Berucap ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) di Dewan Rakyat pada 31 Julai lalu, beliau berkata sasaran itu selaras dengan usaha menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi yang dipacu teknologi kecerdasan buatan.
“Dengan usaha berterusan, Malaysia diyakini mampu berada dalam kelompok 20 terbaik dunia Indeks Perkhidmatan Dalam Talian serta mengekalkan Kategori A dalam GovTech Maturity Index,” katanya.


