SHAH ALAM, 5 JAN: Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh pada sesi Dewan Rakyat akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata RUU berkenaan merupakan sebahagian daripada agenda pembaharuan institusi yang sedang digerakkan Kerajaan MADANI.
“Semua orang ada had tempohnya, tidak boleh sampai berpuluh tahun. Bukan sahaja Ketua Setiausaha Negara, tetapi terpakai kepada semua.
“Kalau diberi tempoh itu dan mampu dilaksanakan, selepas itu elok kita serahkan kepada generasi berikutnya,” katanya ketika menyampaikan perutusan Tahun Baharu 2026 dalam perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini.
Beliau turut memaklumkan RUU berkaitan pemisahan kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara juga akan dibentangkan pada sesi Parlimen tahun ini.
“Bagi hala tuju sesi Parlimen akan datang pada tahun ini dan seterusnya, undang-undang pertama yang kita akan bentangkan ialah Rang Undang-Undang pemisahan kuasa antara Pendakwa Raya dan peguam negara.
“Kerajaan juga akan mengemukakan Rang Undang-Undang berkaitan kebebasan maklumat serta Ombudsman,” katanya.
Pada 10 September lalu, kerajaan membuat keputusan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said membentangkan model pengasingan jawatan itu kepada Jemaah Menteri.
Selepas pertimbangan dibuat, Jemaah Menteri memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan penuh, yang mana kedua-dua jawatan itu diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan.


