SHAH ALAM, 4 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Amerika Syarikat (AS) menahan Presiden Venezuela Nicolas Maduro bersama isterinya Cilia Flores sebagai sesuatu yang luar biasa dan membimbangkan.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar menegaskan operasi ketenteraan AS di Caracas itu melanggar undang-undang antarabangsa serta mencabuli kedaulatan sebuah negara berdaulat.
Beliau menuntut pembebasan segera Maduro dan isterinya sambil mengingatkan bahawa penyingkiran ketua kerajaan melalui campur tangan luar adalah tindakan tidak wajar dan berbahaya.
“Tindakan sedemikian menghakis prinsip keseimbangan kuasa antara negara serta melemahkan struktur undang-undang yang menjadi asas kepada tatanan antarabangsa,” katanya.
Anwar menegaskan masa depan politik Venezuela harus ditentukan oleh rakyat negara itu sendiri tanpa sebarang campur tangan asing.
“Sejarah membuktikan perubahan kepimpinan melalui campur tangan luar sering membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan, khususnya bagi negara yang sudah lama berdepan tekanan ekonomi dan ketegangan sosial,” katanya.
Beliau berkata Malaysia kekal berpegang kepada prinsip menghormati undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara sebagai asas hubungan antarabangsa yang aman dan stabil.
“Pendekatan melalui dialog, hubungan membina dan usaha meredakan ketegangan adalah jalan paling wajar demi melindungi kepentingan serta aspirasi rakyat Venezuela,” katanya.
Terdahulu, Presiden AS Donald Trump dilaporkan berkata tentera AS telah menahan Maduro bersama isterinya pada Sabtu sebelum membawa mereka ke New York.


