SHAH ALAM, 5 JAN: Pendekatan menterjemah karya agung dunia membuktikan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) mampu mencetuskan minat membaca sekali gus menggalakkan pemikiran kritis dalam kalangan masyarakat.
Pengurus Kanan Jualan dan Pembangunan Perniagaan IBDE, Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman berkata pemilihan buku terjemahan berkualiti tinggi seperti Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal karya Martin Lings menjadi antara strategi utama inisiatif berkenaan.
“Buku ini ditulis dalam gaya naratif sastera yang indah dan kekal dalam terjemahan Bahasa Melayu. Ia membawa pembaca seolah-olah menonton filem atau berada di lokasi kejadian,” katanya kepada Media Selangor.

Tambah beliau, penghayatan terhadap kandungan yang menyeluruh membolehkan pembaca memahami sirah Nabi Muhammad SAW dengan lebih mendalam dan membentuk pemikiran kritis.
Selain buku Martin Lings, IBDE turut menerbitkan beberapa karya terjemahan lain seperti Cetera Falsafah, Tangan-Tangan Berdarah di Gaza, Penyelamat Daripada Kesesatan dan Renungan Metafizik.
“Buku-buku ini membantu pembaca menilai maklumat secara kritikal,” jelas Ainunl Muaiyanah.
Beliau menjelaskan, kajian pihaknya menunjukkan peningkatan minat terhadap karya falsafah, terutamanya dalam kalangan pembaca yang ingin memahami asas pemikiran tokoh dunia.
“Kami sediakan bahan untuk pembaca pemula dan juga mereka yang sudah biasa dengan penulisan aras tinggi,” katanya.
Jelas beliau, penyertaan dalam festival seperti Festival Turath Islami memberi ruang kepada IBDE untuk membentangkan karya berat dalam suasana wacana yang lebih terbuka.
“Kami mahu karya ini sampai ke khalayak lebih luas dan dibincang secara mendalam,” katanya.
IBDE turut menyertai pelbagai festival buku bagi membawa perbincangan ilmiah ke tengah masyarakat dalam bentuk yang lebih inklusif dan merakyatkan bahan bacaan berkualiti.





