Di sebalik kesibukan bandar Klang, terselit kisah pembuat kunci veteran yang menjadi sebahagian daripada denyut nadi kehidupan bandar itu selama lebih tiga dekad.
Pada usia 71 tahun, lelaki yang bernama Pang Kim Soo dengan panggilan Uncle Pang ini masih setia menjalankan rutin hariannya sebagai pembuat kunci bergerak.
Dari jam 9.30 pagi hingga 2 petang, beliau melayani pelanggan yang datang dengan pelbagai keperluan daripada kunci rumah patah, kunci motosikal hilang hinggalah kunci kedai yang perlu diganti segera.
Apabila senja menjelang, beliau meneruskan perniagaan di pasar malam sekitar Klang, tempat pelanggan setia mengenali wajah dan kepakarannya sejak bertahun lamanya.
Beliau mula berniaga di pasar malam sekitar Klang sejak 1983, ketika perkhidmatan pembuat kunci masih terhad dan bergantung sepenuhnya kepada kemahiran tangan.
Van yang digunakan sejak 1988 menjadi ‘bengkel bergerak’ yang menyimpan mesin potong kunci, peralatan besi serta pengalaman tidak ternilai.
Dari situlah beliau mengembara dari satu lokasi ke lokasi lain, membina kepercayaan pelanggan sedikit demi sedikit.
Bapa kepada empat anak dengan anak sulung lahir pada 1982, kerjaya itu bukan sekadar sumber pendapatan tetapi tanggungjawab dan legasi kehidupan.
Selama 33 tahun berniaga di kawasan bandar Klang, beliau menyaksikan perubahan zaman daripada kunci besi tradisional kepada sistem kunci yang lebih moden namun prinsipnya kekal sama kerja jujur, hasil kemas dan harga berpatutan.
Hari ini, pembuat kunci ini bukan sekadar peniaga, tetapi figura yang dikenali komuniti setempat. Kisahnya mencerminkan ketekunan peniaga kecil bandar, yang terus berdiri walaupun arus pemodenan semakin deras.
Jurufoto Harun Tajudin merakam kerja pembuat kunci Uncle Pang pada 24 Disember 2025, mengabadikan kehalusan kemahiran tangan dan kecekalan seorang tukang lama yang masih setia berbakti.
Di bandar Klang, dentingan mesin potong kunci miliknya menjadi simbol kecekalan, pengalaman dan kepercayaan yang dibina sepanjang masa.







