KUALA LUMPUR, 2 JAN: Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mencatatkan satu lagi rekod baharu jumlah pengendalian kontena bagi 2025 dengan merekodkan kadar pertumbuhan tahunan masing-masing 3.4 peratus dan 14 peratus.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata prestasi rekod yang dicapai oleh Pelabuhan Klang dan PTP itu mencerminkan kekuatan Malaysia yang semakin meningkat sebagai hab maritim dan logistik serantau.
“Pertumbuhan kukuh jumlah pengendalian kontena yang direkodkan di Pelabuhan Klang dan PTP membuktikan tahap keyakinan syarikat perkapalan global terhadap ekosistem pelabuhan Malaysia.
“Prestasi ini adalah hasil daripada pelaburan berterusan dalam kapasiti, kecekapan dan pendigitalan, serta kerjasama erat antara kerajaan, pengendali pelabuhan dan pemain industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pelabuhan Klang, yang merangkumi Westports dan Northport, mencatatkan peningkatan jumlah pengendalian kepada 15.14 juta bersamaan 20 kaki (TEUs) bagi 2025, berbanding 14.64 juta TEUs pada 2024.
“Pencapaian ini amat signifikan memandangkan persekitaran operasi global mencabar yang dihadapi oleh industri maritim sepanjang tahun tersebut.
“Pelabuhan Klang berjaya mengurangkan kesan cabaran tersebut melalui perancangan kapasiti bersasar, peningkatan kecekapan operasi serta inisiatif pendigitalan yang berterusan,” kata Loke.
Jumlah pengendalian di Westports meningkat 3.2 peratus kepada 11.33 juta TEUs pada 2025, berbanding 10.98 juta TEUs pada 2024.
Ini katanya, didorong terutamanya oleh jumlah pemindahan kargo yang kukuh, rangkaian hubungan dan laluan antara pelabuhan sedunia, serta peningkatan produktiviti hasil daripada sokongan automasi terminal dan langkah pengoptimuman kawasan simpanan kontena.
Northport pula mencatatkan peningkatan jumlah pengendalian 3.8 peratus kepada 3.8 juta TEUs pada 2025 berbanding 3.67 juta TEUs pada 2024, disokong oleh pertumbuhan Gateway Cargo, peningkatan kesalinghubungan antara kawasan, serta peluasan perkhidmatan perkapalan yang melalui laluan perdagangan serantau dan intra-Asia.
Menurutnya, Pelabuhan Klang akan terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab maritim dan logistik serantau melalui pelaburan berterusan dalam pengembangan infrastruktur, fasiliti pelabuhan digital dan pintar, inisiatif kelestarian serta pembangunan bakat.
Sementara itu Loke berkata PTP meraih pencapaian bersejarah pada 2025 apabila merekodkan 14.03 juta TEUs, sekali gus menjadi terminal kontena tunggal pertama di Malaysia yang melepasi paras 14 juta TEUs.
“Pencapaian ini menyusuli satu lagi kejayaan peringkat nasional hanya tiga minggu sebelum itu, apabila PTP melepasi paras 13 juta TEUs, menjadikannya terminal pertama di negara ini yang mencapai kedua-dua pencapaian tersebut dalam tahun sama,” katanya.
Peningkatan ini katanya, disokong oleh prestasi operasi cemerlang termasuk 189,306 pergerakan dalam tempoh satu minggu, 15,041 pergerakan dalam satu syif 12-jam, serta 1,442 pergerakan dalam tempoh satu jam.
Beliau berkata, pertumbuhan PTP itu dipacu oleh gabungan kedudukan strategik yang jelas serta operasi yang berdisiplin.
- BERNAMA



