567 zon pemantauan tingkatkan kecekapan Air Selangor tangani isu paip bocor

2 Jan 2026, 12:01 PM
567 zon pemantauan tingkatkan kecekapan Air Selangor tangani isu paip bocor
567 zon pemantauan tingkatkan kecekapan Air Selangor tangani isu paip bocor

SHAH ALAM, 2 Jan:  Air Selangor mewujudkan 569 Zon Pemeteran Daerah (DMZ) di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak 2017 bagi mengurangkan air tidak berhasil (NRW), mempertingkat pemantauan aliran air serta mempercepat pengesanan kebocoran.

Usaha itu diperkukuh dengan penubuhan enam DMZ baharu antara Januari hingga September tahun lalu, dengan empat di Klang dan dua di Kuala Lumpur yang meliputi 2,904 sambungan serta menjimatkan anggaran 2.02 juta liter air sehari.

“Purata pengurangan NRW bagi enam zon baharu ini adalah kira-kira 33 peratus, sekali gus menunjukkan prestasi yang memberangsangkan di kawasan berisiko tinggi,” menurut Air Selangor dalam Laporan Impak Sukuk Kelestarian 2024-2025.

Setiap DMZ merujuk kepada satu bahagian rangkaian pengagihan air yang membolehkan pengukuran tepat aliran masuk dan corak penggunaan bagi mengenal pasti situasi luar biasa, mengesan kebocoran serta mengurangkan NRW.

Dengan penambahan enam zon berkenaan, sebanyak 26,547 sambungan telah menerima manfaat daripada inisiatif ini.

“Pengembangan berterusan DMZ pada 2025 membuktikan komitmen Air Selangor dalam usaha mengurangkan NRW dan meningkatkan kecekapan air.

“Dengan 569 zon yang telah diwujudkan setakat ini serta perancangan untuk memperluaskan liputan secara berperingkat, program DMZ kekal sebagai pemacu utama pengurusan air mampan, kecemerlangan operasi dan impak alam sekitar yang bermakna, disokong pembiayaan Sukuk Kelestarian,” menurut Air Selangor.

Lebih 2.6 juta akaun pelanggan seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan menikmati bekalan air bersih serta selamat menerusi pelan Yakini Kita Selangor 2028 yang dirangka Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor). Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, menerusi program Automasi Injap Utama (AKV) bagi meningkatkan kecekapan operasi, mengukuhkan daya tahan rangkaian serta membolehkan pemantauan injap secara jarak jauh, Air Selangor memaklumkan sebanyak 379 titik dari takungan utama ke saluran pengagihan disasarkan untuk diautomasi antara Disember 2023 hingga November 2026.

“Setakat ini, 65 injap telah berjaya diintegrasikan, mewakili 17 peratus pelaksanaan. Peratusan siap ini meliputi kawasan strategik utama seperti Sungai Selangor, Sungai Semenyih, Sungai Langat dan saluran utama Skim Langat 2.

“Baki injap masih dalam pelaksanaan,” katanya.

Pelaksanaan AKV membolehkan injap dipantau dan dikawal dari jarak jauh, sekali gus mengurangkan tempoh pengasingan bekalan daripada kira-kira empat jam kepada kurang 30 minit, selain mengurangkan tuntutan kerja lebih masa sebanyak RM310,090.91 serta menjimatkan 159,180 kilometer kos bahan api dan perjalanan sebulan.

Sebelum ini, injap di sepanjang saluran paip utama dikendalikan secara manual dengan penugasan juruteknik ke lapangan bagi menangani paip pecah, perubahan tekanan atau kerja penyelenggaraan.

Inisiatif DMZ dan AKV merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh Air Selangor untuk mengurangkan kehilangan air, meningkatkan daya tahan rangkaian serta memperkukuh kebolehpercayaan perkhidmatan kepada pengguna.