SHAH ALAM, 2 JAN: Sebanyak RM4.33 bilion yang diperolehi Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) daripada program Sukuk Kelestarian disalurkan kepada kerja-kerja naik taraf bekalan air, penggantian paip dan projek kelestarian bagi memperkukuh kemampanan bekalan air jangka panjang kepada pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Adam Saffian Ghazali berkata daripada jumlah itu, sebahagian besar diperuntuk bagi memastikan bekalan air mampan, dengan RM3.3 bilion digunakan bagi membangun dan menaik taraf kemudahan rawatan air, memperluas dan menyelenggara rangkaian pengagihan.
Menurutnya, sebanyak RM853.8 juta pula diperuntuk untuk projek kelestarian termasuk penggantian paip, pengurangan kehilangan air, pembinaan dan naik taraf takungan serta kemudahan baki, pengesanan pencemaran dan inisiatif digital.
Tambahan RM11.65 juta lagi digunakan bagi inisiatif tenaga boleh diperbaharui, termasuk penjanaan di tapak dan penambahbaikan kecekapan tenaga di kemudahan operasi, selaras Visi Tenaga Net Zero 2040 Air Selangor.

“Dengan kadar penggunaan 96.3 peratus, Air Selangor berjaya menunjukkan pengurusan dana yang berdisiplin, dengan setiap ringgit direkodkan dan setiap peruntukan dipantau serta diukur,” katanya dalam Laporan Impak Sukuk Kelestarian Air Selangor 2024-2025.
Menurutnya, baki 3.7 peratus (RM162.2 juta) hasil yang belum diperuntuk, dilaburkan dalam instrumen patuh syariah sementara menunggu penggunaan.
Tambahnya, peningkatan had sukuk Air Selangor daripada RM10 bilion kepada RM20 bilion mengukuhkan perancangan modal jangka panjang syarikat serta menyokong komitmen modal yang dijangka, termasuk perbelanjaan modal tahunan sekitar RM1.9 bilion.
“Kami kini mampu memenuhi keperluan infrastruktur jangka panjang melalui inisiatif bernilai seperti program pengurangan air tidak terhasil (NRW), usaha transformasi digital, projek daya tahan iklim serta inisiatif komuniti,” katanya.
Beliau turut mengumumkan bahawa RAM Ratings telah mengesahkan semula program Sukuk Murabahah Air Selangor dengan penarafan jangka panjang AAA dan prospek stabil setakat Ogos 2025.
Menurutnya, pengesahan itu telah meningkatkan keyakinan pelabur dan mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai penerbit yang berwibawa dalam kewangan mampan.
“Hasilnya, kami menyaksikan keyakinan pasaran yang berterusan, apabila penerbitan Sukuk Kelestarian RM1.5 bilion kami mencatat lebihan langganan sebanyak 2.51 kali ganda dengan jumlah pesanan RM3.77 bilion pada Oktober 2025,” katanya.
Adam Saffian berkata tiada penerbitan sukuk baharu di bawah program tersebut sepanjang tempoh pelaporan dari 1 Oktober 2024 hingga 30 September 2025, memandangkan hasil sedia ada mencukupi untuk menyokong keperluan projek yang sedang dan akan dilaksanakan.



