SHAH ALAM, 2 JAN: Lebih separuh kanak-kanak di Semenanjung, iaitu 51.6 peratus, mula menggunakan peranti digital secara bersendirian sebelum mencecah usia empat tahun, menurut kajian Universiti Malaya (UM).
Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti Pendidikan Dr Rozita Wahab berkata 31.7 peratus kanak-kanak berusia lima dan enam tahun mula berinteraksi dengan telefon pintar atau tablet bersama orang dewasa sebelum usia dua tahun.
Kajian itu juga mendedahkan 24.2 peratus kanak-kanak prasekolah memiliki telefon pintar atau tablet sendiri, menunjukkan hampir satu daripada empat kanak-kanak sudah memiliki peranti digital walaupun masih pada peringkat awal perkembangan.
“Kanak-kanak mula terdedah kepada peranti digital seawal lapan bulan. Secara purata, mereka menggunakan peranti bersama orang dewasa pada usia tiga tahun empat bulan dan mula menggunakannya secara bersendirian sekitar empat tahun empat bulan,” katanya memetik laporan BH Online.
Meningkat selepas Covid-19
Dr Rozita berkata trend penggunaan peranti digital meningkat ketara selepas pandemik Covid-19, apabila telefon pintar dan tablet menjadi sebahagian daripada rutin pembelajaran serta hiburan di rumah akibat kawalan pergerakan.
Kajian menunjukkan 74.1 peratus kanak-kanak prasekolah menggunakan telefon pintar, manakala 39.1 peratus menggunakan tablet. Telefon pintar menjadi peranti harian paling kerap digunakan (68.5 peratus), melebihi televisyen (47.5 peratus).
“Perubahan corak ini sejajar dengan gaya hidup keluarga moden. Ibu bapa dan kanak-kanak kini lebih sibuk dan kurang masa di rumah, menjadikan peranti digital medium pembelajaran dan hiburan utama,” katanya.
Purata masa penggunaan peranti ialah 3.7 jam sehari pada hari persekolahan dan meningkat hampir dua kali ganda kepada 6.2 jam pada hari cuti, dengan sebahagian kanak-kanak menggunakan peranti sehingga 9 jam pada hari persekolahan dan 14 jam ketika cuti.
Lebih 70 peratus kanak-kanak melebihi tempoh dua jam sehari semasa persekolahan, manakala hampir 90 peratus berbuat demikian pada hari cuti, jauh melebihi saranan American Academy of Pediatrics (AAP).
Jejas perkembangan fizikal
Dr Rozita menegaskan pendedahan berlebihan kepada skrin memberi impak kepada perkembangan fizikal kanak-kanak. Semakin lama masa dihabiskan di hadapan skrin, semakin rendah tahap aktiviti fizikal harian mereka.
“Kanak-kanak yang banyak menggunakan telefon pintar atau tablet cenderung kurang aktif di luar rumah, kurang bermain, berlari, berbasikal atau bersukan, sebaliknya lebih banyak melakukan aktiviti pasif di rumah,” katanya.
Sebagai perbandingan, kajian serupa 11 tahun lalu hanya melaporkan kadar penggunaan peranti dalam kalangan kanak-kanak prasekolah antara 0 hingga 6 peratus sahaja.
Dr Rozita menasihatkan ibu bapa supaya membimbing penggunaan peranti digital, terutama bagi kanak-kanak berusia 18 hingga 24 bulan, di mana AAP menyarankan penggunaan dalam tempoh minimum dengan pengawasan bersama ibu bapa atau penjaga (co-viewing).




