Selangor mesti terus maju demi kestabilan ekonomi negara

2 Jan 2026, 1:31 AM
Selangor mesti terus maju demi kestabilan ekonomi negara
Selangor mesti terus maju demi kestabilan ekonomi negara
Selangor mesti terus maju demi kestabilan ekonomi negara
Selangor mesti terus maju demi kestabilan ekonomi negara

SHAH ALAM, 2 JAN: Ekonomi Selangor tidak boleh tergelincir kerana negeri itu memainkan peranan penting sebagai tonggak sokongan kepada prestasi ekonomi Persekutuan, kata Setiausaha Akhbar Dato' Menteri Besar Jay Jay Denis.

Beliau berkata, meskipun beberapa negeri lain menunjukkan kemajuan dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, Selangor memikul tanggungjawab lebih besar untuk terus mengatasi kadar pertumbuhan nasional.

Setiausaha Akhbar Dato’ Menteri Besar Selangor Jay Jay Denis bercakap semasa rakaman program Lunch On Us! di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 23 Disember 2025. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Wilayah lain turut berkembang seperti Johor dengan zon ekonomi khasnya, Pulau Pinang melalui peluasan industri semikonduktor dan Sarawak dengan pembangunan tanah berskala besar yang semuanya sedang berkembang.

“Namun Selangor berjaya mengatasi kadar pertumbuhan nasional dan negeri ini tidak boleh gagal kerana jika Selangor tidak berjaya, ia akan memberi kesan berpanjangan kepada prestasi Kerajaan Persekutuan.

“Sebab itu, apabila kita berkembang, pertumbuhan Selangor mesti melebihi paras nasional,” katanya ketika program Lunch On Us! terbitan Media Selangor.

Jay Jay berkata trajektori pertumbuhan Selangor didorong perancangan rapi serta pelaksanaan dasar berkesan, termasuk menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang mempercepat pertumbuhan negeri dari tahun ke tahun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat pameran sempena sesi perasmian Kajian Penggal Rancangan Selangor Pertama (KSP RS-1) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 4 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

RS-1 merupakan pelan pembangunan komprehensif bagi tempoh 2021 hingga 2025 yang diluluskan Dewan Negeri Selangor pada Ogos 2022, melibatkan nilai keseluruhan RM212.44 bilion merangkumi projek dan inisiatif ke arah menjadikan Selangor negeri pintar, makmur dan berdaya huni.

Menjawab kebimbangan kedudukan ekonomi Selangor yang mungkin dicabar negeri lain, beliau menegaskan Selangor masih jauh mendahului pesaing terdekat termasuk Kuala Lumpur dan Johor.

“Tahun lalu, Selangor merekodkan KDNK tertinggi sebanyak RM432.1 bilion, menyumbang 26.2 peratus kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau turut menjelaskan strategi pentadbiran Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memberi tumpuan kepada pertumbuhan jangka panjang dan mampan berbanding keuntungan jangka pendek, dengan mengekalkan kekuatan sedia ada serta fleksibiliti untuk meneroka sektor baharu.

“Pertumbuhan mampan bermaksud kita fokus kepada sektor yang kita kuasai dan memperkukuhkannya, namun pada masa sama tidak terlalu rigid serta bersedia berkembang ke bidang baharu,” katanya.

Antara sektor pertumbuhan tinggi baharu yang sedang diteroka Selangor ialah semikonduktor dan aeroangkasa.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Hulu Langat di Taman Impian Ehsan, Hulu Langat pada 4 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKI

Mengulas hala tuju dasar negeri, Jay Jay berkata prinsip pentadbiran negeri sentiasa memastikan semua lapisan masyarakat menikmati manfaat daripada program dan inisiatif kerajaan.

“Kita boleh berkembang sepantas mungkin, tetapi ia tidak bermakna jika masih ada rakyat yang tercicir,” katanya.