14 ajaran sesat masih aktif termasuk lapan dipantau pihak berkuasa

1 Jan 2026, 11:36 AM
14 ajaran sesat masih aktif termasuk lapan dipantau pihak berkuasa
14 ajaran sesat masih aktif termasuk lapan dipantau pihak berkuasa

SHAH ALAM, 1 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan 14 ajaran yang difatwa sesat dikesan masih aktif di negara ini, dengan lapan daripadanya dalam pemantauan pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pemantauan itu adalah sebahagian usaha berterusan bagi mengekang ancaman terhadap keselamatan negara.

“Sebanyak 154 ajaran telah difatwa sesat sejak 1950 hingga kini, dengan 114 daripadanya dikenalpasti dan diberikan perhatian khusus oleh Cawangan Khas PDRM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah sempena program tahunan di Masjid Saidina Ali, Bukit Sentosa malam tadi, lapor Berita Harian.

Beliau berkata antara ajaran yang masih aktif termasuk Perjalanan Mimpi Yang Terakhir, Dewan Perkasa Ekonomi Islam, Millah Abraham, Nur Mutiara Mutmainnah dan The Ahmadi Religion of Peace and Light.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay. Foto Bernama

Menurut Ayob Khan, gerakan ajaran sesat ini bukan sahaja menyimpang dari landasan agama sebenar, malah boleh menggugat kestabilan dan keharmonian masyarakat.

“Ajaran sesat merupakan satu bentuk ancaman keselamatan dalam negara, sama seperti isu rasuah dalam kalangan penjawat awam,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan PDRM komited membanteras gejala rasuah dalam pasukan sendiri bagi mengembalikan kepercayaan rakyat.

“Isu integriti sangat penting. Kita akan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana anggota yang terbabit dengan rasuah,” tegasnya.

Beliau turut mengajak masyarakat untuk memainkan peranan aktif dengan memanfaatkan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dalam menyalurkan maklumat.

“Masyarakat dan PDRM perlu ada ikatan simbiosis yang kukuh bagi memastikan negara kekal aman dan harmoni,” tambahnya.