SHAH ALAM, 1 JAN: Usaha mitigasi banjir di Selangor berhasil mengurangkan kesan hujan lebat, dengan banjir kilat baru-baru ini hanya menjejaskan kawasan terlibat secara minimum berbanding banjir besar Disember 2021.
Setiausaha Akhbar Dato' Menteri Besar Selangor Jay Jay Denis berkata peningkatan infrastruktur dan tahap kesiapsiagaan membolehkan negeri bertindak lebih berkesan walaupun menghadapi ribut tropika buat pertama kali dalam beberapa dekad.

“Walaupun ada banjir kilat, kerosakan jauh lebih rendah berbanding empat tahun lalu. Kejayaan ini banyak disumbangkan oleh projek mitigasi banjir,” katanya.
Beliau menjelaskan salah satu cabaran utama ialah hubungan sistem perparitan di kawasan perumahan dengan jaringan sungai serta sistem yang diurus pihak berkuasa tempatan dan negeri yang masih tidak sempurna.
“Kami sedang membangunkan pelan pengurusan air baharu untuk mengurus aliran air berlebihan dengan lebih baik,” tambahnya.
Menurut beliau, kerja pengorekkan sungai secara besar-besaran telah dilaksanakan di Sungai Klang untuk meningkatkan kapasiti kira-kira 35 peratus, memberikan kesan positif di kawasan seperti Sungai Damansara.
Bagaimanapun, paras air laut yang meningkat serta corak pasang surut terus menjadi cabaran bagi daerah pesisir seperti Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang dan Kuala Langat.
Untuk mengatasinya,beliau berkata Selangor telah mendapatkan kepakaran antarabangsa, terutamanya dari negara yang berpengalaman dalam pengurusan banjir seperti Jepun dan Belanda.
Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata setakat November lalu, 34 projek mitigasi banjir bernilai RM241.6 juta telah siap dilaksanakan, manakala 39 projek lagi bernilai RM383.35 juta dan 18 projek di bawah Kerajaan Persekutuan masih dijalankan.
Jay Jay berkata negeri kini berusaha mempelbagaikan sumber hasil selain premium tanah, dengan sasaran meningkatkan rizab kepada RM5 bilion bagi memberi fleksibiliti lebih tinggi merancang projek berskala besar pada masa hadapan.





