SHAH ALAM, 1 JAN: Selangor berada di landasan tepat untuk mencapai saiz ekonomi RM500 bilion dan sasaran itu hanya menunggu masa untuk dicapai, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Beliau berkata, unjuran itu disokong kadar pertumbuhan purata negeri sebanyak 7.3 peratus bagi tempoh 2021 hingga 2024, sekali gus melepasi sasaran 6.5 hingga 7 peratus yang digariskan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
“Jika trajektori ini dapat dikekalkan, saya berpendapat ia hanya menunggu masa sebelum Selangor melepasi paras aktiviti ekonomi RM500 bilion.
“Saya percaya ia boleh dicapai dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya ketika program Lunch on Us! terbitan Media Selangor yang disiarkan pada Isnin lalu.
Bagaimanapun, Afzanizam berkata pencapaian itu bergantung kepada ketiadaan faktor luar jangka, termasuk kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat (AS) yang boleh menjejaskan momentum pertumbuhan, memandangkan Malaysia merupakan sebuah ekonomi terbuka.
“Salah seorang ahli utama Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS, Stephen Miran, ada menyebut tentang kemungkinan kemelesetan ekonomi di negara itu.
“Sekiranya ia berlaku, situasi tersebut boleh menjadi halangan dari segi kepantasan Selangor untuk mencapai sasaran berkenaan,” katanya.
Pada tahun lalu, Selangor menyumbang RM432.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, bersamaan 26.2 peratus daripada keseluruhan ekonomi nasional. Ia meningkat berbanding 25.9 peratus pada 2023, apabila negeri ini menyumbang RM406.1 bilion.
Sebelum ini, pada Januari, Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor berada di landasan untuk mencapai ekonomi bernilai RM500 bilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun, didorong perkembangan industri kompleks seperti semikonduktor serta penerokaan bidang kecerdasan buatan (AI).
Afzanizam berkata Selangor, sebagai nadi ekonomi negara dan disokong pemacu utama seperti pelabuhan serta sektor penerbangan, dijangka terus mencatat pertumbuhan dalam beberapa tahun akan datang.
Menurutnya, kepesatan industri utama di negeri ini menuntut peningkatan produktiviti yang lebih kukuh bagi menyokong pertumbuhan mampan.
“Kebiasaannya pertumbuhan KDNK didorong oleh faktor buruh, modal dan yang paling penting teknologi, yang diukur menerusi jumlah produktiviti faktor (TFP),” katanya sambil menambah Selangor berada pada kedudukan baik untuk meningkatkan TFP.
Beliau turut menegaskan pertumbuhan ekonomi perlu bersifat inklusif dengan merujuk pekali Gini sebagai penanda aras penting.
“Pekali Gini Selangor masih hampir dengan paras nasional iaitu sekitar 0.39, namun menunjukkan trend menurun, yang bermaksud jurang pendapatan semakin mengecil. Itu perkembangan positif, tetapi masih banyak usaha perlu dilakukan,” katanya.



