Makanan halal jadi jambatan perpaduan di festival antarabangsa

1 Jan 2026, 7:00 AM
Makanan halal jadi jambatan perpaduan di festival antarabangsa
Makanan halal jadi jambatan perpaduan di festival antarabangsa
Makanan halal jadi jambatan perpaduan di festival antarabangsa

PETALING JAYA, 1 JAN: Festival Makanan Budaya & Pelancongan Muslim Antarabangsa Malaysia membuktikan makanan halal mampu menjadi medium berkesan dalam menyatukan komuniti Muslim dan bukan Muslim daripada pelbagai latar belakang budaya, agama dan negara.

Penganjuran festival hingga 4 Januari itu membuka ruang interaksi sosial apabila pengunjung bukan sahaja menikmati hidangan, malah berpeluang mengenali kepelbagaian budaya melalui pengalaman makan bersama.

Seorang pengunjung, Rammapriya Subramaniam berkata acara seperti ini memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara kaum dan agama.

Rammapriya Subramaniam ketika ditemui Media Selangor pada Festival Makanan Budaya & Pelancongan Muslim Antarabangsa Malaysia di One Utama Damansara pada 31 Disember 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Melalui makanan, kita dapat mengenali budaya lain dan berinteraksi secara lebih terbuka tanpa rasa kekok,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, kepelbagaian makanan halal yang ditawarkan turut menjadikan festival tersebut sesuai sebagai aktiviti keluarga semasa cuti sekolah.

“Bila ada pensijilan halal, semua kaum boleh menikmati makanan tanpa halangan,” ujarnya.

Sementara itu, pengunjung dari China, Jamal Chao menyifatkan makanan sebagai bahasa sejagat yang paling mudah menyatukan manusia.

Jamal Chao ketika ditemui Media Selangor pada Festival Makanan Budaya & Pelancongan Muslim Antarabangsa Malaysia di One Utama Damansara pada 31 Disember 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Bila kita makan bersama, tiada lagi perbezaan bangsa atau negara,” katanya.

Beliau turut berpandangan penglibatan komuniti Muslim antarabangsa dalam festival berkenaan memberi peluang kepada orang ramai mengenali dan mencuba pelbagai makanan halal dari negara berbeza.

Bagi pengunjung lain, Nabilah Bahari, makanan menjadi faktor utama yang mendorong orang ramai berkumpul dan berinteraksi.

“Acara seperti ini buatkan orang berani mencuba makanan daripada budaya berbeza, dan secara tidak langsung menyatukan masyarakat tanpa mengira agama,” katanya.

Penganjur Festival Makanan Budaya & Pelancongan Muslim Antarabangsa Malaysia Shoaib Ma ketika ditemui Media Selangor pada Festival Makanan Budaya & Pelancongan Muslim Antarabangsa Malaysia di One Utama Damansara pada 31 Disember 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Sementara itu, penganjur festival, Shoaib Ma berkata konsep makanan halal yang diketengahkan bukan sekadar berkisar soal jual beli, sebaliknya bertujuan menghubungkan komuniti.

“Makanan ialah cara paling mudah untuk menyatukan semua orang tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Bagi peniaga reruai, Lim Qian Yu, festival berkenaan membuka ruang kerjasama antara Muslim Malaysia dan Muslim Cina dalam bidang perniagaan.

“Melalui makanan kita dapat memahami budaya dan tradisi negara lain serta menggalakkan keharmonian antara komuniti dan budaya berbeza,” katanya.