SHAH ALAM, 31 DIS: Di sebalik konflik dan sekatan berpanjangan, wanita tampil memikul peranan besar apabila menerajui strategi, diplomasi dan kepimpinan misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) ke Gaza.
Timbalan Ketua Delegasi Malaysia dalam misi itu berkata hampir keseluruhan struktur pengurusan FFC diterajui wanita, sekali gus membuktikan keupayaan golongan tersebut sebagai tulang belakang gerakan kemanusiaan antarabangsa yang berdepan risiko tinggi dan tekanan geopolitik.
Jelas Prof Dr Mohd Afandi Salleh, wanita bukan sahaja memainkan peranan di sebalik tabir, malah berada di barisan hadapan diplomasi termasuk terlibat secara langsung dalam rundingan ketika bot delegasi diceroboh tentera Zionis di perairan antarabangsa.

“FFC ini diuruskan oleh wanita dan boleh saya kata hampir sepenuhnya. Dalam misi pertama saya pada 2018, sebelum berlepas ada latihan misi di Sicily (Itali), yang menguruskan latihan itu wanita. Mereka melatih kami untuk jadi tenang, kalau diserang bagaimana, semuanya wanita.
“Dalam misi terbaru ini pun sama, wanita juga. Di atas kapal pada 2018 yang menjadi ketua bot juga wanita bernama Zoha yang juga kudung satu kaki yang merupakan kaum Yahudi. Tetapi Alhamdulillah pada misi kali ini dia sudah memeluk Islam.
“Selain itu, semasa kapal ditahan, yang bercakap dengan (tentera Israel) adalah wanita dan yang jadi kapten kapal Conscience dalam pelayaran baru-baru ini juga wanita iaitu Madeline Habib,” katanya dalam forum Wanita dan Perjuangan Palestin: Memecah Kepungan, Menyubur Harapan di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Dr Fauziah Mohd Hasan berkata kekejaman dan genosid yang berlaku di Gaza bukan sekadar konflik politik, sebaliknya ujian besar terhadap nilai kemanusiaan sejagat.
Menurutnya, naluri kemanusiaan menuntut tindakan bagi membantu dan mengurangkan penderitaan insan lain tanpa mengira agama, bangsa atau sempadan negara.

“Apabila bayi dibunuh, wanita dihalau keluar dari rumah, berlindung dalam kereta kebal dan dibom, ini bukan lagi isu politik. Ini kezaliman yang melangkaui kata-kata.
“Jika kita memilih untuk berdiam diri dan tidak mengecam apa yang dilakukan Israel, kita sebenarnya sedang kehilangan kemanusiaan itu sendiri. Kita mesti pastikan kemanusiaan masih wujud dalam dunia ini. Itulah yang membuatkan saya dan ramai yang lain terus berjuang,” katanya.
Mohd Afandi dan Dr Fauziah merupakan antara delegasi Malaysia yang menyertai gelombang ketiga flotilla kemanusiaan di bawah FFC dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) pada September lalu dalam usaha memecah sekatan haram Israel ke atas Gaza.
Bagaimanapun, kapal Conscience yang dinaiki mereka ditahan tentera Israel selepas dipintas pada 8 Oktober lalu.
Misi tersebut dijalankan di bawah gabungan FFC dan TMTG, melibatkan 10 bot yang berlepas dari Itali pada 27 September lalu, manakala kapal Conscience dilancarkan di Porto Otranto, Itali dengan peserta berlepas pada 30 September.
Secara keseluruhan, misi FFC disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara, dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.




