SHAH ALAM, 31 DIS: Kesunyian atau pemencilan emosi yang dialami golongan dewasa terutamanya ketika sambutan hari peristiwa seperti acara Tahun Baru atau perayaan keagamaan, sering dianggap sebagai perkara biasa.
Tidak ramai yang tahu ia sebenarnya antara krisis kesihatan mental serius yang sedang berlaku di seluruh dunia.
Pakar psikologi dari Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), Prof Madya Dr Siti Hazlina Alias berkata masalah pemencilan emosi semakin membimbangkan di negara ini berikutan dipengaruhi beberapa faktor termasuk media sosial.
“Mengasingkan diri ini kerana beberapa faktor. Dia seolah-olah mahu lindungi diri dia. Selalunya benda ini terjadi kerana trauma atau pengalaman lalu, dia tidak mahu ingat dan bina satu dinding.
“Tetapi ada juga kerana dipengaruhi media sosial dan ini diburukkan pula dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika Covid-19 yang berlaku sebelum ini,” katanya kepada Media Selangor.
Dr Siti Hazlina menambah, pemencilan emosi mula berlaku apabila seseorang individu itu enggan mengakui atau menzahirkan perasaan sendiri dan dipendam sehingga akhirnya menjejaskan kesihatan mental individu terbabit.
Sebagai contoh, katanya, budaya masyarakat Timur khususnya di Malaysia, sering meminta individu bersedih supaya bersabar, sedangkan perkara tersebut adalah tidak tepat dan perasaan itu perlu dizahir dengan cara yang betul.
“Apabila emosi tidak diurus dengan betul, semakin lama ia akan membarah dan menjadi masalah lain. Ia mungkin nampak kecil pada awalnya, tetapi pada masa akan datang kita bimbang menjadi penyakit lain,” katanya.
Lebih membimbangkan, menurut Dr Siti Hazlina, kesedaran mengenai masalah pemencilan emosi masih berada di tahap rendah berikutan masyarakat menganggap ia sebagai cara hidup pilihan individu.
“Selalunya orang akan datang untuk terima rawatan apabila perkara itu sudah teruk. Sebenarnya penyakit ini sama seperti penyakit fizikal lain. Kalau tidak dijaga dari awal, ia akan merebak jadi penyakit lain,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Siti Hazlina menitipkan nasihat bagi mengelakkan rasa kesunyian, antaranya adalah menghargai diri sendiri, mengamalkan gaya hidup yang sihat serta mengukuhkan amalan spritual (keagamaan).
“Kita perlu jadi praktikal dan realistik. Ada masa kita ada hari yang tidak okay. Tidak ada masalah untuk rasa tidak okay, tetapi jangan lama sangat. Perlu cari jalan keluar.
“Kebanyakan faktor pelindung yang saya temui dalam pesakit saya adalah keluarga yang menyokong serta pegangan agama. Dua ini merupakan perkara yang paling penting,” katanya mengakhiri bicara.


