SHAH ALAM, 31 DIS: Program Ekspedisi Ibadah Pelancongan Kenderaan Rekreasi (RV) Malaysia yang menjelajah 36 masjid di seluruh Semenanjung membuka dimensi baharu kembara berteras ibadah melalui penggunaan kenderaan itu sebagai medium pelancongan spiritual.
Presiden Persatuan Campervan dan Motorhome Malaysia, Farman Othman berkata ekspedisi bermula 19 Disember lalu itu bertujuan mendekatkan komuniti RV dengan masjid menerusi pelbagai pengisian seperti kuliah, tazkirah serta aktiviti gotong-royong.
Menurutnya, penjelajahan sejauh lebih 2,400 kilometer (km) itu melibatkan kira-kira 70 kenderaan RV dengan penyertaan seramai 120 peserta, bermula dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
Perjalanan berkenaan turut singgah di beberapa masjid utama termasuk Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini sebelum dijadualkan berakhir malam ini di Masjid Putra, Putrajaya.

“Alhamdulillah, ini merupakan satu pendekatan yang baik yang mana sebenarnya ia bermula daripada RV ini, kadangkala kita tidak dibenarkan parkir di masjid mungkin sebab besar dan sebagainya.
“Jadi kami mengubah hala tuju, kami nak kerjasama dengan masjid dan harapkan masjid dapat membuka pintu seluas-luasnya untuk kita bermusafir, beribadah dan mengimarahkan masjid.
“Alhamdulillah semuanya menerima dengan baik dan mencadangkan agar program ni diteruskan dan dikembangkan lagi malah kebanyakan masjid bersetuju nak buat parkir RV pula di masjid,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau menambah, konsep ‘healing’ berlandaskan spiritual menjadi teras utama ekspedisi itu apabila masjid dipilih sebagai destinasi kembara komuniti RV.
“Kami juga memikirkan sebenarnya, selama ini kita pergi ‘healing’ dekat pantai, sungai, hutan. Tapi sebenarnya tempat apa yang lebih hebat untuk kita ‘healing’ selain daripada masjid? Jadi, kerana itulah kami buat satu program ini.
“Kita harap program ini boleh dikembangkan untuk membawa pelancong-pelancong datang menggunakan RV, pergi ke masjid-masjid juga sekaligus diketengahkan sebagai antara medium mengimarahkan masjid dan menyebar syiar Islam,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Mohd Luqman Hakkim Rizuan berkata pihak masjid menyambut baik penganjuran program seumpama itu yang dilihat selari dengan peranan masjid sebagai pusat dakwah selain tarikan pelancongan Islam.
Menurutnya, masjid tersebut merekodkan kehadiran lebih 100,000 pelancong luar negara sepanjang tahun ini, sekali gus membuktikan potensi besar masjid sebagai destinasi pelancongan Islam.
“Masjid sendiri mengalu-alukan program sebegini yang berbentuk dakwah dan Masjid Negeri juga merupakan salah satu masjid yang utama bagi tujuan pelancongan.
“Jadi bila ada program sebegini ia membantu juga mengiklankan ibadat atau program dakwah yang berlangsung di masjid bukan saja di Selangor tetapi yang lain juga.
“Pihak masjid tidak terhad melaksanakan program berbentuk dakwah yang hanya tertumpu kepada kuliah atau ceramah berbentuk agama di dalam masjid, tetapi juga alu-alukan program sebegini yang penting dengan tujuan utama iaitu dakwah, menarik lebih ramai datang mendekatkan diri dengan Allah ataupun datang ke masjid untuk berjemaah bersama,” katanya.



