SHAH ALAM, 31 DIS: Krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing apabila harga barangan keperluan asas, termasuk susu bayi, melonjak sehingga 100 kali ganda, menyukarkan penduduk meneruskan kehidupan tanpa bantuan luar.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Dr Fauziah Mohd Hasan berkata situasi itu mendorong pihaknya melaksanakan kempen bantuan musim sejuk serta projek pek bantuan bayi bagi memastikan keperluan asas kanak-kanak dapat dipenuhi segera.
Menurutnya, MyCARE menyasarkan penyediaan 500 pek bantuan bayi sebulan yang mengandungi susu formula dan lampin pakai buang, dengan kos keseluruhan dianggarkan berjumlah RM375,000 untuk disalurkan secepat mungkin ke Gaza.
“Projek ini kita lancarkan di Seremban pada November lalu dan Alhamdulillah dapat kumpul RM90,000. Ia telah disalurkan kepada agensi yang berada di Gaza untuk membeli barang-barang (susu formula).
“Kita bekerjasama dengan Al-Khair Foundation dari United Kingdom yang sangat besar dan mempunyai ejen di situ untuk memasukkan barang dan membeli barang-barang di sana. Jadi ada cara untuk (bantuan) masuk Insya-Allah,” katanya selepas pelancaran Dana Projek Baby Bags di sini, hari ini.
Dr Fauziah menjelaskan, barangan makanan sememangnya masih ada di pasaran namun dijual pada harga yang tidak munasabah, menyebabkan penduduk Gaza tidak mampu membelinya.

“Barangan makanan memang ada, tapi dijual dengan harga yang sangat mahal dan tidak masuk akal hingga 100 kali ganda. Ada yang kata gula dijual hingga AS$100. Jadi mereka tak ada duit, tak ada kerja, tak dapat nak beli.
“Jadi NGO-NGO macam kita inilah membelinya dengan harga yang mahal dan beri balik kepada ibu-ibu dan anak-anak di sana. Susu bayi tu pun dijual dengan harga mahal.
“Sekarang ini longgar sedikit sekatan, jadi mungkin harga sedikit turun jadi kita masih boleh membeli dengan sumbangan derma orang ramai,” katanya.
Mengulas mengenai kemasukan bantuan kemanusiaan, beliau berkata jumlah trak bantuan yang dibenarkan masuk ke Gaza masih jauh daripada keperluan sebenar penduduk.
“Sekarang ini selepas gencatan senjata, dia (Israel) janji boleh masuk 600 trak bantuan sehari, tetapi yang dibenarkan hanya 100 trak sedangkan Gaza memerlukan 1,000 trak bantuan untuk masuk satu hari (untuk keperluan mereka),” katanya.
Terdahulu, majlis pelancaran Dana Projek Baby Bags disempurnakan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof.
Menurut Azli, projek berkenaan bukan sekadar usaha mengumpul dana, sebaliknya manifestasi kasih sayang dan solidariti rakyat terhadap ibu serta bayi di Gaza.

“Sebagai contoh, setiap pek bantuan bayi memastikan seorang ibu tidak merasa bayi mereka dilupakan dan memberi harapan walaupun dalam tekanan yang amat besar,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan hujan lebat dan angin kencang akibat sistem cuaca tekanan rendah menyebabkan 17 bangunan runtuh serta lebih 42,000 khemah atau pusat perlindungan rosak, menjejaskan sekurang-kurangnya 235,000 orang antara 10 hingga 17 Disember lalu.
Gelombang baharu cuaca tekanan rendah yang melanda Gaza sejak hujung minggu lalu turut mengakibatkan kematian dua orang serta memusnahkan puluhan ribu khemah, menurut pasukan pertahanan awam.
Keadaan cuaca buruk itu menimbulkan ancaman besar kepada rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal dan kini berlindung di khemah usang atau bangunan yang rosak teruk akibat serangan berterusan Israel sejak Oktober 2023.




