SHAH ALAM, 31 DIS: Ibu bapa memanfaatkan cuti persekolahan dengan membeli kelengkapan sekolah sebagai persediaan untuk anak-anak yang bakal memulakan sesi pembelajaran pertengahan bulan depan.
Suri rumah, Siti Aminah Mustafa, 52, berkata pembelian kelengkapan persekolahan untuk kedua-dua anaknya dibuat mengikut kemampuan dengan memilih jenama yang menawarkan harga berpatutan.
"Bagi saya tiap-tiap tahun harga akan sentiasa naik, tetapi perlu tengok juga jenama lain yang mempunyai harga yang berlainan dan berkemampuan.

"Macam baju sekolah kadang-kadang hanya pakai baju sukan, jadi baju sekolah yang elok boleh dipakai tahun berikutnya," katanya.
Menurut Aminah, bantuan persekolahan sebanyak RM150 yang diterima turut membantu meringankan bebannya dalam menampung perbelanjaan kelengkapan sekolah termasuk alat tulis, buku serta pakaian sekolah.
Sementara itu, seorang pesara guru, Mohd Yazid Abdul Rahman,62, juga mengambil kesempatan sempena cuti sekolah untuk menemani anaknya membeli peralatan persekolahan di sebuah pasar raya Mydin di Subang Jaya.
“Setakat ini saya sudah beli kasut untuk bersukan dan beg sekolah baru.
“Biasanya saya akan membeli dua helai baju sekolah namun memandangkan kini boleh memakai baju sukan, sehelai sahaja sudah mencukupi,” katanya.
Yazid berkata, kebiasaannya beliau meluangkan cuti sekolah untuk membeli kelengkapan persekolahan lapan orang anaknya, namun tahun ini hanya seorang anak sahaja ditemaninya membeli peralatan sekolah.

Siti Yang Masturah Mat Desa, 35, dari Jalan Klang Lama, Puchong turut membawa kedua-dua anaknya membeli pakaian dan kasut sekolah sebagai persiapan menjelang pembukaan sesi persekolahan tahun hadapan.
“Saya membeli dua pasang pakaian untuk sekolah kebangsaan dan dua pasang lagi bagi sekolah agama, yang pada saya sudah mencukupi.
“Peralatan menulis pula telah dibeli lebih awal, manakala barangan sedia ada seperti pembaris dan pemadam yang masih elok akan digunakan semula,” katanya yang juga merupakan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
Namun baginya, peningkatan harga kelengkapan persekolahan amat membebankan apabila perbelanjaan pakaian dua orang anaknya sahaja mencecah lebih RM300, tidak termasuk alat tulis.
Sementara itu, Shazwani Samsudin, 33, turut bersama suaminya mencari kelengkapan sekolah untuk anak tunggal mereka yang akan memasuki tahun dua sesi persekolahan tahun hadapan.
"Setakat ini baru beli kasut dan nanti akan beli baju dan seluar untuk seorang anak darjah dua.
"Bagi saya perbelanjaan sekolah untuk seorang anak mencukupi bagi saya sebagai seorang suri rumah," katanya kepada Media Selangor.
Terdahulu, tinjauan di pasar raya Mydin Subang Jaya menunjukkan ibu bapa mula mengambil peluang sempena cuti sekolah dengan membawa anak-anak membeli kelengkapan dan persiapan sekolah sebagai langkah awal menghadapi sesi persekolahan pertengahan Januari hadapan.





