Tidakku sangka anjing yang diasuh sejak kecil
di kebun terpencil
diberi makan setiap hari
setelah gemuk besar kerjanya merayau pergi
kadang tak pulang-pulang
meski pun ditunggu dengan makanan sampai ke petang.
Beberapa bulan lalu aku mengutipnya di siring jalan
ibunya mati ditabrak kenderaan lalu-lalang
ia di sana meraung-raung hilang punca
sesekali datang ke mayat ibunya yang berkecai
di depan mataku ia juga hampir dipijak lori Pakistan
maka aku berhenti, mengambil dan membawanya pulang dengan berat hati.
Sudah seminggu, aku pindahkan ia di pondok ladang
ia sangat seronok berlari di sela lalang
mungkin sedang mengimbas memori bersama ibunya
yang hidup terbuang di jalan tanpa kampung
barangkali ia terbayang ibu sedang mengejarnya
setelah terlapis lapar oleh sisa sampah dilempar orang.
Aku pun berharap dapatlah ia menjaga pondok dan kebun pabila besar
melihat rangka ibunya dulu memang baka yang besar
lagi pula ia jantan berwarna hitam
sudah pasti akan sangat mengerunkan
sudah pasti tiadalah yang akan berani datang
menyamun hasil buah-buahan.
Di kebun ini bukan saja kera, musang dan tupai berbondong-bondong dari hutan
orang-orang dari kiri kanan juga mampir mengambil tanpa keizinan
bukan menuduh tapi sejak ada sebuah syarikat beroperasi di sebelah
siang-siang ada saja yang hilang
malam-malam rumah burung dipecah masuk
pontong rokok dan bekas tapak kuintip pulang ke sana.
Anjing yang aku namakan Bagar ini
entah melencong ke mana kebelakangan ini
aku terdengar salakkan bercampur derum mesin di perumbahan syarikat
tapi tidak pasti itu Bagar atau anjing-anjing syarikat
mahu saja aku ke sana tapi sudah diberi notis keras bersama kamera terpasang
orang kampung tidak dibenarkan berjalan melintas sempadan.
J.r Jel


