SHAH ALAM, 15 DIS: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menegaskan khidmat Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky masih diperlukan walaupun jurulatih berpengalaman itu menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan susulan kegagalan skuad negara mencapai sasaran empat pingat emas pada Sukan SEA Thailand.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata keputusan pada temasya dwitahunan itu tidak wajar diletakkan ke atas bahu seorang individu, sebaliknya perlu dipikul bersama oleh pemain, jurulatih, pengurusan serta kepimpinan.
“Khidmat Rexy masih diperlukan. Pengalaman dan falsafah pembangunan yang dibawanya tidak boleh dinilai hanya berdasarkan satu kejohanan,” katanya menerusi kenyataan di laman X, hari ini.
Pada Sukan SEA kali ini, kem badminton negara menamatkan kempen dengan satu pingat emas, dua perak dan enam gangsa, jauh daripada sasaran empat emas ditetapkan BAM.
Pingat emas tunggal negara disumbangkan oleh beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah yang menewaskan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari 21-16, 19-21, 21-17 pada perlawanan akhir.
Bagaimanapun, beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada gandingan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 14-21, 17-21.
Harapan satu lagi emas menerusi beregu campuran juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak kesampaian apabila terkandas di separuh akhir dan membawa pulang gangsa, manakala acara berpasukan lelaki terlepas emas selepas tewas 0-3 kepada Indonesia pada aksi final.
Semalam, Rexy menyatakan kesediaannya memikul tanggungjawab penuh termasuk meletakkan jawatan susulan kegagalan skuad badminton negara, khususnya dalam acara beregu di Sukan SEA Thailand.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata Sukan SEA 2025 bukan pentas mudah dan keputusan di gelanggang menuntut kejujuran serta keberanian untuk bertanggungjawab secara kolektif.
Beliau turut menegaskan walaupun sasaran emas tidak dicapai, skuad negara menunjukkan perkembangan positif apabila meraih sembilan pingat, melepasi sasaran awal tujuh pingat.
“Lebih bermakna, kita meraih pingat perseorangan wanita, pencapaian pertama sejak enam tahun, yang membuktikan pembangunan bakat berada pada landasan tepat,” katanya.
Tambah beliau, kegagalan di Sukan SEA tidak menafikan kejayaan besar badminton negara tahun ini termasuk gelaran juara dunia beregu campuran menerusi Tang Jie-Ee Wei serta pencapaian Pearly-Thinaah mara ke final beregu wanita Kejohanan Dunia di Paris, Ogos lalu.
“Sukan SEA memberi pengajaran berharga. Kami akan belajar, memperbaiki kelemahan dan bangkit lebih matang.
“Ini bukan noktah, sebaliknya batu loncatan,” katanya sambil menegaskan komitmen BAM untuk terus membina badminton negara berasaskan perancangan jangka panjang.


