Oleh Aliff Awan
Sering hip-hop terselit antara payah dan mewah hidup. Ketika Lucidrari muncul, kemarahan memuncak dengan istilah rap bebel di sebalik autotala sederhana. Peminat sastera dan OG muzik masih tersangkut di bahu Malique yang mengulang formula penghasilan lagu sama selama lebih sedekad dangan kamus tak pernah lepas dari genggamannya.
Sementara muzik meraikan inovasi dan segala jenis pendekatan menghasilkan lagu (kecuali salah guna AI), peminat Malaysia sering dipisahkan nostalgia, gelar-gelaran legenda dan BBNU (budak-baru-nak-up) yang dianggap belum cukup bakat. Bagi mereka, hanya pengikut jejak langkah sesiapa yang berada paling puncak wajar turut diraikan. Sedangkan Malique masih jeneral, namun lebih kuat ketika zamannya. Pula Lucidrari adalah angkatan baharu yang sedang teguh. Lidah kita boleh rasa kedua-duanya sedap, kalau mahu.
Begitulah sayang, tanah air kita dahagakan sedikit kelegaan dalam hidup namun mereka juga yang menyesakkan nafas sendiri.
Di Kuala Lumpur dan Sabah terutama, kemunculan kolektif hip-hop dan persona bintang rap tunggal seperti ISOBAHTOS, 53 UNIVERSE, FORCEPARKBOIS, bertambah macam slanga internet; banyak dan tak segan.
Jadi, apabila Mira (lakonan Aida Amron) mengisi senggang kerja membuat burger dengan mikrofon, patah-patah kata dan muzik dileret DJ Jay (Kahoe Hon) di sebuah pentas bawah tanah dekat Kampung Bahru, tidaklah mengejutkan. Cuma ada juga yang tidak berapa gemar.
Selain Badak (Shaheizy Sam) tidak reda anak tunggalnya itu bermain muzik sedangkan dia seorang OKU pekak dan bisu, dalam Letterboxd ada cela yang diludah kerana percampuran bahasa dalam lagu rap "Fl!p" nyanyian gadis itu. Katanya, tak cukup Malaysia.
Dalam satu temu bual, Joe Flizzow ada kata yang “Hip hop merangkumi keseluruhan kehidupan, mentaliti dan juga budaya”.
Kalau dihuraikan ikut tiga perkara ini, “Fl!p” cukup menepati apa yang dikatakan Mr President Johan. Mungkin juga itu sebab Joe buat penampilan khas dalam filem ini.
Pertama, kehidupan. Sebagai seorang anak pembuat burger, Mira segan nak lupa daratan. Cita-citanya tak ada tapi minatnya penuh, jadi dalam rangkap-rangkap dinukil sering langgam ketika memanggang di gerai badaknya itu seperti “beef, cheese, spatula, bread, food truck” dipetik. Ada rasa bangga dengan hidupnya yang sederhana di mata pemilik rumah depan KLCC, namun cukup mewah dalam hati besarnya.
Kedua, lagu sependek dua minit 9 saat ini adalah sebuah mantra untuk menambah baik selesa hidup. Seperti kepingan daging burger, Mira nak “flip” hidup dia. Bukanlah harta yang dikejar, cuma selepas sibuk menjaga Badak yang kurang upaya, dia inginkan sesuatu yang boleh juga menambah kegembiraan dalam hidup. Upayanya baru kenal dewasa lagi-lagi dalam dunia serba mudah apabila segala rencam instrumen bersepah dalam perisian murah. Menggubah alur lafaz lirik dengan tuntutan rima kata adalah kegembiraan yang dia mahu Badak izinkan supaya hidupnya di-flip.
Terakhir, sayang, jahatlah kalau kita nafikan yang bahasa seharian kita tidak terseli antara Melayu dan Inggeris hari ini. Perubahan kod langgam dalam ucap-ucapan seharian dah jadi budaya. Maka, nak diludah penggunaan bahasa kita sendiri dalam sebuah karya seni seolah menafikan yang seni adalah rakaman zaman.
Hasil tangan Akeem Jahat dengan kerjasama Ryb3na dan Jayd Harith dari 53 UNIVERSE menghulurkan satu bunyi yang jarang didengari dalam lakon layar arus perdana. Ketika filem aksi tembak-menembak kerap mengulang formula sama iaitu memanggil veteran rap untuk menghasilkan runut bunyi dengan tampilan penyanyi-penyanyi hangat masa kini, M. Raihan Halim selaku pengarah dan penulis skrip mengambil peluang untuk perkenalkan apakah nada lain rap yang warga Malaysia sedang sibuk dengar?
Berkasut merah suede ballet, jorts beragam warna dengan baju boxy hasil selaman TikTok atau kedai-kedai bundle, konsert hip hop alaf baru sering berlangsung hujung minggu. Diraikan peminat setia yang maharamai, ketika kaos show “Ini Kali” anjuran Atas Angin yang menampilkan TTONTHEMOVE, Slatan dan FORCEPARKBOIS, ada gegaran yang dirasai apabila penonton melompat serentak meraikan adrenalin yang dipersembahkan, kata Farhira Farudin dalam artikel pengalamannya Oktober tahun lepas.
Hal ini sempat dirakam sipi dalam filem berdurasi sejam setengah ini. Pentas Underground tersedia setiap malam minggu, meraikan bakat baru. Di situ, veteran rap akan menggemudi acara sambil menarik rakan-rakan mereka untuk usha siapakah yang akan teruskan legasi. Satu hari, Joe Flizzow hadir untuk hulur sebuah tawaran kepada Mira; menjadi artis pembuka jelajah muziknya tak lama lagi.
Namun, selepas perhitungan panjang, Mira pilih untuk menolak kerana konflik keluarga.
Konflik Badak dan anak perempuannya terjadi kerana satu punca; pertembungan bunyi. Antara tuli dan hiruk, antara pekak dan muzik.
Malah, respons Badak terhadap keinginan Mira adalah sebenarnya perhitungan cemas untuk memastikan hubungan dia dan anaknya itu tidak sedikit pun renggang. Trauma hubungan dia dan abahnya.
Pembuat burger itu dibesarkan oleh abah (lakonan Wan Hanafi Su). Asal Singapura, abahnya seorang pemuzik terkenal. Selepas tua, dia pilih untuk sering buat hal; merokok dalam gerai, mencuri dari kedai runcit sehingga polis perlu dipanggil, lari dari hospital dan juga, semestinya, memilih untuk terus bergaduh dengan anak lelakinya itu.
Mereka berdua tak pernah berkomunikasi dengan baik. Sering, Mira menjadi orang tengah.
Sebagai seorang pemain muzik, mempunyai seorang anak OKU pekak dan bisu sudah tentu mengecewakan abah. Jadi, apabila terlahir cucunya yang berupaya dengar dan bercakap, kepalang gembiranya bukan main. Setiap hari gitar dipetik, melodi dinyanyi. Macam Miralah anak sebenarnya.
Dengan abah kandung yang tidak mahu belajar bahasa isyarat, hati Badak terguris. Fikir Badak, muzik adalah satu rekahan yang akan meruntuhkan hubungan dia dan Mira.
Jadi, apabila abah hadiahkan papan nada MIDI kepada Mira, Badak tak boleh berbaik sangka. Tuduhnya, abah ingin mencuri lebih sayang dan kasih Mira daripadanya. Di dapur, mereka bertengkar.
Kamera hanya menunjukkan belakang bahu dan kepala abah. Badak masuk ke dapur dan menggertak dulu. Dengan mimik muka dan bunyi-bunyian orang bisu. Abah pula membalas satu per satu dengan kefahaman yang separa. Berlanjutan beberapa minit. Liur tersembur dari mulut Badak seolah carut-carutan yang kita upaya bersuara ini akan lafazkan apabila bengang. Babak tersebut sepenuhnya bergantung kepada visual dengan bantuan dialog yang tak banyak. Sebagai penonton, kita melihat pertengkaran tersebut tanpa sari kata dan masih, terasa sayunya.
Ketika ini, naratif di tangan Raihan Halim tidak bergantung kepada kata-kata yang direka-reka. Namun, total terserah pada ekspresi pelakon menterjemahkan dialog-dialog yang tak dapat dilafaz.
Badak sebagai sebuah filem sebenarnya adalah pengembaraan kepada penonton menekuni bunyi.
Mira dengan minatnya terhadap hip-hop. Dibantu pula garapan Akeem Jahat, Ryb3na dan Jayd Harith dalam menterjemah nada rap kalakini ke dalam sebuah filem sebagai satu rakaman zaman. Badak yang bisu pula cuma mampu berbunyi ketika marahnya memuncak. Abah hanya mahu menikmati suara dan percakapan. Yang diam, dia endahkan.
Walaupun ia bermula dengan abah tidak mendengar Badak tidak mendengar Mira, namun ia ditamatkan dengan Mira mendengar Badak mendengar abah.
Sebelum filem ini tamat, Badak pulang ke rumah. Komputer Mira di tengah-tengah ruang tamu dihidupkan. Perisian muzik terbuka dan ‘enter” ditekan. Tak ada bunyi. Jadi, ayah kepada gadis cili padi itu mengambil pembesar suara majlis kenduri kampung dan sambungkan kepada komputer. Masih tak dengar. Tak putus asa, Badak rapatkan muka dan pegang span pembesar suara. Lalu, tombol bunyi diputar ikut arah jam. Ada degar dapat dirasa. Degar tersebut mengikut bunyi muzik yang komputer Mira mainkan. Dan itu adalah kali pertama, Badak dapat dengar bunyi anaknya.
Bunyi yang dia gerunkan sejak kecil, tapi kerana kasihkan anak, kini, dia tertangis gembira.


