Pada zaman silam, kerajaan-kerajaan Melayu lama bukan hanya sekadar kuasa. Ditatang bersamanya adalah peradaban bangsa. Sebahagian daripada peradaban yang menjadi rupa wajah kepada istana adalah kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan. Malahan terdapat juga sastera-seni-budaya yang dinaungi oleh istana sendiri sebagai sebuah bentuk pencitraan ketamadunan kerajaan-kerajaan Melayu lama.
Namun sayang seribu kali sayang, sastera-seni-budaya yang menjadi keperibadian kepada kehalusan dan kelembutan bangsa suatu ketika dahulu, kini semakin dilupakan. Semakin tidak dipedulikan. Semakin tiada penaungnya.
Arus kemodenan yang pesat, teknologi yang dahsyat, generasi muda yang hanyut dalam pusaran media sosial dan maklumat yang tak tersekat, menjadikan sastera-seni-budaya kehilangan tempat. Tapi tidak buat Khairunazwan Rodzy, lulusan teater dari Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) dan Divya Devi Santhira Segaran, penggerak pertubuhan sukarela Team Selangor.
Team Selangor adalah sebuah inisiatif Kerajaan Negeri yang menumpukan kepada kerja-kerja kemasyarakatan, membangunkan komuniti dan memperkasakan anak-anak muda di sekitar Selangor khususnya. Sebagai penggerak Team Selangor yang pernah berguru di bawah pengarahan Khairunazwan dalam pementasan teater di Universiti Malaya, Divya Devi berkongsi falsafah pemikiran yang sama dengan sang pengarah: teater sebagai sarana merawat luka.
Teater Muzikal Gadoh
Teater Muzikal Gadoh yang dipersembahkan pada 7 hingga 10 November 2024 di Petaling Jaya Performing Arts Centre adalah adaptasi daripada filem dengan judul yang sama, yang diterbitkan kira-kira 15 tahun lalu. Filem arahan Brenda Danker dan Namron itu tidak sempat menyentuh layar perak. Bahasanya dikatakan terlalu kasar. Kisahnya pula didakwa terlalu sensitif. Akhirnya ia cuma dipancarkan menerusi laman YouTube. Namun, benih yang baik, dicampak ke laut menjadi pulau. Filem Gadoh di salah satu saluran YouTube yang memuat naikkan videonya meraih lebih daripada 4 juta tontonan!
Gadoh sebagai sebuah filem dan Gadoh sebagai sebuah teater muzikal mempunyai keunikan masing-masing. Meskipun kerangka dan plotnya kurang lebih serupa namun gaya persembahannya berlainan.
Menurut Khairunazwan, antara proses adaptasi yang mencabar buatnya adalah bagaimana untuk melunakkan dialog asal filem yang banyak menggunakan bahasa perkauman, kasar, penuh makian, serta carutan ke dalam bentuk yang boleh diterima oleh khalayak di pentas teater.
Proses melembutkan filem Gadoh yang keras itu dilakukan oleh sang pengarah menerusi plot yang dimuzikalkan, lirik lagu yang dicipta, irama muzik yang digubah, serta nyanyian dan koreografi tarian yang dipersembah. Meskipun dialog-dialog panas dan kasar sudah dilunakkan oleh sang pengarah, namun intensiti persembahan yang ditampilkan menerusi lakonan, lagu, muzik dan koreografi tariannya tetap meruntun perasaan, membakar emosi.
Gadoh bermula gamat. Gegak-gempita di dalam kelas di sebuah sekolah. Dua kumpulan, Melayu dan Cina sedang saling serang-menyerang, kata-mengata, menunjuk kuat, berebut kuasa. Disampaikan menerusi lagu. Dengan koreografi suasana yang menegangkan. Dengan pukulan gendang dram dan gitar bes yang bising. Gadoh dimulai dengan kecoh dan riuh-rendah yang hampir tak terkawal.
Kau mau lawan, kita lawan!
Kau mau gadoh, kita gadoh!
Aku tak peduli siapa mati siapa hidup!
Aku tak peduli kalau aku luka, aku gugur!
Dalam pergaduhan antara kumpulan pelajar Melayu yang diketuai oleh Zahir (lakonan Fimie Don) dan kumpulan pelajar Cina yang diketuai oleh Heng (Tompson Goh), tersepit di tengahnya seorang pelajar India, Raj (lakonan Devan Raj). Tiga kaum yang duduk di kelas yang sama tetapi tak boleh bertentang mata. Kekecohan yang hampir mengakibatkan rusuh itu akhirnya dileraikan oleh Mr. Chua (lakonan Alvin Looi), pengetua sekolah.
Kemelut pergaduhan antara kaum di sekolah bukanlah tema yang asing buat masyarakat majmuk di negara kita. Kalau bukan pergaduhan besar sekali pun, perselisihan kecil antara kaum pasti pernah terjadi.
Cumanya dalam Teater Muzikal Gadoh jalan penyelesaiannya bukan dengan rotan atau hukuman keras sepertimana di kebanyakan sekolah. Sebaliknya Cikgu Anne (lakonan Erry James) menyarankan kepada pengetua untuk mencuba kaedah teater sebagai sarana merawat luka-luka silam yang tertoreh akibat stereotaip, prejudis dan juga diskriminasi yang pernah kita lalui di sepanjang perjalanan hidup kita sebagai manusia.
Dalam babak tersebut Cikgu Anne melagukan:
Mereka terperangkap dalam jiwa
Jiwanya keras tak pernah dibuka
Senilah melembutkan rasa di jiwa
Hingga mengenal kasih sayang dan cinta
Jiwa keras yang menyelubungi kumpulan-kumpulan pelajar yang berseteru itu perlu dilembutkan menerusi seni, pada pandangan Cikgu Anne. Persekitaran yang keras melahirkan manusia yang keras. Pengalaman silam mewujudkan manusia pendendam.
Ketiga-tiga watak utama yang mewakili pelajar Melayu, Cina dan India punya kisah silam mereka sendiri — sejarah masa lalu yang terpendam. Mereka adalah mangsa kepada persekitaran dan kemiskinan yang digeluti setiap hari. Kisah dan sejarah silam keluarga turut mempengaruhi pula pemikiran mereka tentang kaum lain.
Seperti yang dinyanyikan oleh Zahir, Heng dan Raj:
Zahir:
Aku bosan dengan malam
Aku kenang kisah silam
Kisah hitam paling malam
Kisah bahagiaku hilang
Aku jadi dendam
Heng:
Aku bosan dengan malam
Aku selalu ditekan
Tekanan masa depan
Bagaimana nasib badan
Aku jadi baran
Raj:
Aku doa pada malam
Aku selalu idamkan
Masalah segera pergi
Bermula hidup yang baru
Aku amat berharap
Tatkala berhadapan dengan suasana persekitaran dan persekolahan yang dipenuhi oleh perasaan perkauman dan saling tidak mempercayai antara satu sama lain, khalayak penonton kemudiannya dipertemukan dengan pelatih teater, Encik Azman (lakonan Jasni Fizul), sahabat Cikgu Anne.
Selepas berjaya memujuk Encik Azman untuk bersetuju membantu beliau mendamaikan pergaduhan antara kaum di sekolahnya menerusi seni teater, maka bermulalah perjalanan penuh getir Cikgu Anne dan juga Encik Azman dalam percubaan mereka melembutkan jiwa yang keras dan menggantikannya dengan perasaan kasih, sayang dan cinta.
Jiwa yang keras bukan hanya ada pada pelajar sahaja tetapi juga guru-guru di sekolah itu sendiri yang keras mempertahankan kaedah dan cara lama dalam menguruskan pergaduhan antara kaum yang wujud di sekolah itu. Malahan kebanyakan gurunya meragui keberkesanan seni teater sebagai sarana kepada pendidikan insan.
Meskipun mendapat tentangan daripada kumpulan-kumpulan pelajar dan guru-guru di sekolah itu sendiri, namun dengan tekad dan iltizam Cikgu Anne serta Encik Azman, secara perlahan-lahan dari minggu ke minggu pelajar-pelajar tersebut semakin terbuka untuk mula cuba memahami antara satu sama lain.
Teater sebagai terapi
Menggunakan teater sebagai terapi, Encik Azman mendorong para pelajar yang menyertai bengkel teaternya untuk meluahkan sepenuh-penuhnya perasaan yang terpendam, sejujur-jujurnya. Dalam babak peluahan perasaan itu, maka keluarlah segala macam yang terpendam dari isi hati pelajar Melayu, Cina dan India.
Menerusi terapi teater, Encik Azman berjaya membuka mata para pelajar di sekolah tersebut untuk melihat bukan dari kaca mata sebagai Melayu, Cina atau India, sebaliknya sebagai seorang manusia. Di babak ini Encik Azman melagukan lirik:
Lihatlah wajah kawan-kawanmu
Lihatlah dengan mengerti dan perhati
Dia juga sama sepertimu
Yang berjuang hidup mengais rezeki
Sama tiada beza
Mahu menjadi jahat atau baik
Mana yang kau pilih
Insan mulia atau pun sebalik
Pecahkan tembok prasangka
Yang ada di antara kita
Kita sama bukti kita serupa
Manusia
Jika di filem, Brenda Danker dan Namron mengakhiri Gadoh dengan sedikit pesimis tapi Khairunazwan menamatkan Gadoh di teater muzikal dengan lebih optimis. Babak akhir menyaksikan bagaimana kesemua pelajar yang bermusuh, baik Melayu, Cina mahu pun India bangkit berganding bahu bersama-sama merawat luka silam masing-masing sehingga sembuh.
Teater muzikal Gadoh diakhiri dengan lagu terakhir, Ayuh Kita, yang dinyanyikan penuh semangat oleh kesemua pelakon diiringi oleh gempita alunan muzik yang turut menyalakan gelora rasa, demi sebuah bangsa Malaysia yang menjadi cita-cita bersama.
Ayuh mula dengan bangga kita semua maju jaya
Lupakanlah sengketa yang pernah melanda
Demi sebuah kejayaan yang tersemat di jiwa
Menjadi cita-cita mulia
Demi mencapai kemenangan yang terbina kenangan
Menjadi detik mula bersama
Kami Bangsa Malaysia
Wadah perpaduan bangsa
Teater Muzikal Gadoh bukan hanya hiburan semata-mata. Ia adalah pemanjangan kepada sebuah perbualan bangsa. Perbualan tentang kita — bangsa Malaysia — yang di dalamnya terkandung pelbagai cerita, termasuk cerita yang kurang enak untuk didendang. Cerita tentang stereotaip, prejudis, diskriminasi, dan sentimen perkauman yang ada dalam masyarakat sebagai suatu hakikat.
Gadoh punya iltizam yang cukup jelas. Ia bukan hanya mengungkapkan permasalahan bangsa tapi turut menyajikan jalan keluar yang boleh kita cuba bersama-sama. Sarananya teater.
Namun, ketika banyak karya sastera-seni-budaya dihasilkan demi pasaran semata-mata, apakah karya yang kritis seperti Gadoh boleh mendapat tempat? Gadoh telah pun membuktikannya. Setiap pementasannya "full house". Teater sebagai sebuah wadah perpaduan bangsa punya potensi besar untuk dijadikan sarana buat merawat luka-luka silam.
Cumanya siapakah yang boleh, mampu dan mahu menyumbang sebagai penaung kepada sebuah projek membina bangsa menerusi teater?




