PUTRAJAYA, 8 DIS: Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) akan membawa pembaharuan besar kepada ekosistem pendidikan negara dengan tumpuan diberikan kepada pembentukan karakter dan pembudayaan ilmu bermula di peringkat awal persekolahan.
Akan dilaksanakan bermula sesi persekolahan 2027 bagi sekolah rendah dan menengah, dan pada 2026 untuk pendidikan prasekolah, kurikulum baharu ini menggantikan yang sedia ada secara berperingkat.
Dalam satu sesi libat urus Kurikulum Persekolahan 2027 bersama-sama media baru-baru ini, Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata KP2027 bukan sekadar rombakan struktur kurikulum tetapi satu usaha untuk menghidupkan semula roh pendidikan dan menjadikan sekolah sebagai ruang yang memupuk nilai, membina disiplin ilmu serta membentuk keperibadian murid, bukan sekadar tempat mengejar keputusan akademik.
Berpengalaman sebagai pendidik selama 24 tahun sebelum ditugaskan untuk mentadbir di Kementerian Pendidikan (KPM), Mohd Azam berkata menerusi KP2027, pelajar akan dibimbing untuk menyeimbangkan antara pencapaian akademik dan sahsiah.

PEMBENTUKAN KARAKTER: NILAI YANG DIBUDAYAKAN, BUKAN DIAJAR SECARA HAFALAN
Menurut Mohd Azam, elemen pembentukan karakter merupakan keistimewaan paling ketara dalam KP2027 kerana nilai tidak lagi diajar secara abstrak atau dibaca dalam buku mengikut tajuk, tetapi ditunjukkan dan dibiasakan dalam kehidupan murid setiap hari.
“Pelajar perlu melihat bagaimana hormat itu dizahirkan, bagaimana empati ditunjukkan dan bagaimana toleransi dilakukan.
“Hormat kepada guru dan rakan dipraktikkan di dalam kelas. Nilai kebersihan dan kebertanggungjawaban dipupuk melalui amalan membersihkan meja selepas makan, dan nilai toleransi pula diterapkan melalui tindakan mudah seperti menunggu giliran ketika beratur di kantin.
“Nilai yang mahu dipupuk bukan sekadar harmoni atas kertas tetapi nilai yang jelas dan hidup, seperti gembira bersama, saling membantu dan bertolak ansur ketika membuat keputusan. Elemen pembentukan karakter ini akan muncul dalam semua mata pelajaran dan interaksi, bukan satu mata pelajaran baharu yang berdiri sendiri,” tegasnya.
60 MINIT SEMINGGU BINA KARAKTER PELAJAR
Mengulas lanjut aspek itu, Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum Nooraini Kamaruddin yang turut hadir, berkata Program Pembentukan Karakter dalam KP2027 dilaksanakan melalui dua pendekatan utama.
“Pertama, KPM memperkenalkan Program Pembentukan Karakter seawal prasekolah hingga menengah atas. Pada peringkat prasekolah, pembentukan karakter berlaku secara berterusan melalui rutin harian seperti menyusun kasut, berkongsi makanan, membantu rakan dan menjaga kebersihan, tanpa terikat kepada jadual tertentu.
“Pada peringkat sekolah rendah dan menengah, KPM memperuntukkan 60 minit seminggu yang dimasukkan dalam jadual waktu persekolahan. Program ini dilaksanakan secara praktikal (hands-on) dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bagi membentuk karakter murid sebagaimana yang dihasratkan. Program ini bukanlah mata pelajaran baharu tetapi program yang dibudayakan di peringkat sekolah.
“Kedua, pembentukan karakter diintegrasikan dalam semua mata pelajaran, dengan setiap guru dianggap sebagai guru pembentukan karakter yang bukan sahaja menyampaikan ilmu dan kemahiran, tetapi juga nilai, sikap dan sahsiah berkaitan kandungan mata pelajaran,” jelasnya.
Mengambil contoh subjek Sains, beliau berkata guru akan mengajar pengetahuan dan teori mengenai sains serta kemahiran pengendalian alat dan radas semasa mengendalikan eksperimen.
“Dalam tempoh ini murid bekerjasama secara dalam kumpulan, bertolak ansur dan bersikap jujur sepanjang aktiviti dijalankan,” ujarnya.
ALAM DAN MANUSIA: PEMBUDAYAAN ILMU MERENTAS DISIPLIN
Sementara itu, Mohd Azam berkata satu lagi komponen penting KP2027 ialah Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu.
Jelasnya Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu adalah pembudayaan ilmu yang menggabung jalin pelbagai disiplin daripada elemen muzik, kesihatan, seni, sains, TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan digital.
“Pembelajaran Bersepadu bertujuan mendekatkan murid dengan realiti kehidupan. Murid akan memahami alam secara praktikal dan berfikir seperti seorang pemerhati.
“Sebagai contoh, mereka menanam pokok cili, mencatat pertumbuhan, memerhati cahaya matahari, melukis matahari dan pokok, menyanyi berkaitan pertumbuhan dan berkongsi dapatan dengan guru serta ibu bapa. Pendekatan ini mendedahkan murid kepada pelbagai disiplin ilmu tanpa menekankan hafalan konten,” katanya.
Beliau juga berkata pembudayaan ilmu penting dalam dunia yang berdepan perubahan iklim, banjir luar jangka dan peralihan kepada era digital.
Mohd Azam berkata anak-anak perlu memahami hubungan antara manusia dan alam serta memupuk kecintaan kepada alam sekitar sejak kecil supaya mereka membesar sebagai warganegara global yang sedar akan nilai bumi dan kesejahteraan bersama.
CO-TEACHING: AMALAN LAMA YANG DIMANTAPKAN DALAM KP2027
Mengulas pengajaran berpasukan atau co-teaching, beliau berkata KP2027 turut memberi ruang lebih besar kepada pendekatan tersebut, iaitu kaedah pedagogi melibatkan dua guru bekerjasama secara sinergi dalam satu bilik darjah.
Kolaborasi ini merangkumi proses merancang, melaksana dan mentaksir PdP secara bersama-sama.
“Walaupun telah lama diamalkan di beberapa sekolah, pendekatan itu kini diperkukuh dan diselaraskan dengan lebih jelas.
“Pengajaran berpasukan dilaksanakan di sekolah yang mempunyai guru yang bersedia dan serasi untuk mengendalikan kelas secara kolaboratif. Guru muzik dan guru sains misalnya, boleh bergabung untuk mengajar mata pelajaran Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu.
“Namun jika berlaku kekangan seperti cuti bersalin atau kekurangan guru, seorang guru sahaja boleh meneruskan pengajaran tanpa menjejaskan proses pembelajaran,” katanya.
Sementara itu, bagi memastikan pelaksanaan yang teratur dan berkesan, KPM akan menyediakan Garis Panduan Pelaksanaan yang akan berfungsi sebagai dokumen rujukan utama kepada semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaannya.
Menurut Mohd Azam, pengajaran berpasukan adalah amalan profesional yang wajar diberikan fleksibiliti, dan yang lebih penting lagi ialah murid mendapat pengalaman pembelajaran yang kreatif, holistik dan konsisten.
TIGA TAHAP PEMBELAJARAN: LITERASI, APLIKASI DAN INOVASI
KP2027 menurut Mohd Azam, turut memperkenalkan susunan baharu tiga tahap pembelajaran yang lebih sesuai dengan perkembangan kognitif dan emosi kanak-kanak.
Pada Tahun Satu dan Tahun Dua yang membentuk Tahap I, tumpuan adalah pada pembudayaan literasi, numerasi serta minat untuk datang ke sekolah. Murid diperkenalkan kepada disiplin ilmu secara menyeluruh dan dibiasakan menikmati proses pembelajaran yang menyeronokkan.
Tahap II yang meliputi Tahun Tiga dan Tahun Empat memberi tumpuan kepada aplikasi ilmu, di mana murid bukan sahaja memahami konsep tetapi mengaitkannya dengan dunia sebenar.
Mereka belajar bagaimana cahaya matahari mempengaruhi tumbuhan, mengapa persekitaran sihat penting dan bagaimana ilmu itu boleh dipraktikkan.
Tahap III pula merangkumi Tahun Lima dan Tahun Enam yang memberi ruang kepada murid untuk berfikir secara analitis, menghasilkan inovasi dan mengukuhkan pembentukan karakter. Murid diperkenalkan kepada konsep jati diri, pemikiran kritis serta kesedaran tentang peranan mereka sebagai sebahagian daripada komuniti global.
MENYEIMBANGKAN INTELEK, EMOSI DAN ROHANI DALAM DUNIA BAHARU
Mohd Azam menegaskan bahawa KP2027 dibina untuk menghadapi realiti dunia hari ini yang berdepan perubahan cuaca ekstrem, peralihan ekonomi global, masyarakat menua dan ketagihan digital.
Katanya pendidikan tidak boleh lagi sekadar melahirkan “ulat buku” seperti zaman dahulu, tetapi mesti melahirkan insan seimbang yang mempunyai nilai diri, emosi yang stabil dan daya cipta.
Beliau turut mengingatkan bahawa pendidikan tidak boleh dipisahkan daripada nilai agama dan pegangan masing-masing, selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan insan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan sosial.
“Kurikulum, sehebat mana pun tidak akan bermakna tanpa kehadiran guru, kerana guru bukan hanya mengajar akademik tetapi membentuk manusia, menyuburkan emosi dan membina karakter murid,” tegasnya.
Beliau menyifatkan usaha itu sebagai satu jihad pendidikan yang memerlukan komitmen semua pihak untuk memastikan setiap murid dibimbing dengan kasih, nilai akal budi dan kefahaman yang jelas terhadap dunia yang bakal mereka hadapi.





