SHAH ALAM, 5 DIS: Model pendidikan Islam yang dibangunkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Kemboja sejak 2013 membuka jalan kerjasama lebih luas apabila Vietnam dan Laos menyatakan minat mengadaptasi sistem sama di negara masing-masing.
Ketua Sektor Pengurusan Pendidikan Jais, Muhammad Asmadi Mustaqim berkata delegasi Vietnam sebelum ini hadir ke Kemboja untuk menilai keberkesanan sistem tersebut dan melihat sendiri perubahan dalam komuniti Cham di sana.
“Nama Jais mula disebut di Vietnam dan Laos selepas mereka mendengar kejayaan di Kemboja. Mereka datang sendiri meninjau bagaimana ia dilaksanakan,” katanya ketika ditemui di Pejabat Jais di sini, baru-baru ini.
Hasil perbincangan bersama konsulat Malaysia di Ho Chi Minh, dua buku Jais Tauhid dan Fiqh telah diterjemah ke Bahasa Cham Vietnam dan kini menunggu kelulusan Menteri Agama negara tersebut sebelum dicetak.
“Banyak istilah dalam buku asal dipengaruhi bahasa Kemboja, jadi Vietnam minta terjemahan baharu. Dua buku sudah diterjemah dan sedang melalui proses kelulusan Jabatan Agama di Vietnam untuk dicetak,” katanya.
Asmadi berkata pandemik pada 2020 melambatkan usaha peluasan, namun projek kembali aktif pada 2023 dengan pertemuan, semakan dokumen serta latihan guru mula dijalankan semula.
Dalam masa sama, Laos turut menyatakan minat rasmi apabila imam besar negara itu memohon kerjasama pendidikan dengan Jais selepas melihat perkembangan di Kemboja dan Vietnam.
“Ada permintaan daripada imam besar di Laos. Mereka mahu kami datang, melawat dan berbincang kerana keperluan mereka hampir sama,” katanya.
Melalui perkembangan terbaru itu, Jais kini dilihat berperanan sebagai “konsultan pendidikan Islam” untuk negara Indochina dalam membina kurikulum, menyediakan buku teks, melatih guru dan menstrukturkan peperiksaan.
“Kami tidak beri 'ikan', kami beri mata kail. Mereka perlukan sistem dan pengalaman, dan JAIS membantu setakat kemampuan yang ada,” katanya.


