SHAH ALAM, 5 DIS: Lebih 14 sekolah kerajaan dan 623 swasta di Kemboja kini menggunakan sukatan pelajaran sama diguna pakai di Selangor selepas kejayaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membangunkan sistem terbabit sejak 2013.
Ketua Sektor Pengurusan Pendidikan Jais, Muhammad Asmadi Mustaqim berkata usaha itu bermula selepas pertemuan awal antara Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Mufti Kemboja, Kamarudin Yusof pada 2012.
Beliau berkata perbincangan tersebut digerakkan Kamarudin sendiri yang memohon bantuan bagi memperkukuh pendidikan Islam negara itu yang berdepan cabaran kritikal.
“Hasrat mereka ialah supaya kita membantu membangunkan pendidikan Islam di Kemboja,” katanya dalam wawancara di Pejabat Jais di sini, baru-baru ini.
Muhammad Asmadi yang merupakan ketua projek berkata, tinjauan awal di Kemboja pada 2013 mendapati keadaan sekolah agama negara terbabit amat membimbangkan kerana tidak mempunyai sistem asas pendidikan.
Beliau berkata sekolah-sekolah yang majoriti pelajar adalah masyarakat etnik Cham itu hanya bergantung kepada inisiatif guru sukarela, tanpa kurikulum tetap, buku teks dan pentaksiran.
“Tidak ada kurikulum, tidak ada buku teks, tidak ada kaedah mengajar rasmi dan tidak ada cara pengurusan sekolah. Kalau hari ini guru nak ajar tauhid, dia ajarlah tauhid. Kalau dia nak ajar fiqh, dia ajar fiqh. Melalui tinjauan itu kami nampak apa yang perlu kami lakukan,” ujarnya.
Jais kemudian memulakan proses menyeluruh dengan membawa kurikulum sekolah rendah agama Selangor, menterjemah dan menyediakan buku teks, melatih guru, serta membentuk peperiksaan Peperiksaan Sekolah Agama Rendah (PSAR) versi Kemboja.
Impak paling besar apabila Kerajaan Kemboja meluluskan 1,500 waran bernilai USD 300 sebulan khusus untuk guru agama selepas Jais menghantar dokumen lengkap berkaitan sukatan pelajaran, buku teks dan struktur pentaksiran.
“Dokumen-dokumen itu menjadi sokongan kepada kertas memohon satu peruntukan supaya guru mereka mendapat bantuan kewangan,” katanya.
Dalam tempoh pelaksanaan, 32 pegawai Jais turut mengharungi cabaran tersendiri termasuk terpaksa berkorban masa dan mendahulukan wang sendiri.
Muhammad Asmadi menjelaskan operasi itu dibiayai oleh penderma yang terdiri daripada syarikat berkaitan kerajaan, organisasi bukan kerajaan, pelbagai persatuan dan persendirian.
“Kadang-kadang kita tidak ada bajet, tetapi kertas membenarkan mengeluarkan modal sendiri… kesediaan berkorban itu sangat penting,” katanya.
Beliau berkata komitmen itu turut didorong oleh keyakinan bahawa pendidikan adalah jalan paling efektif untuk menyelamatkan generasi muda Muslim minoriti di Kemboja daripada ancaman sosial dan kehilangan identiti.
Setakat ini, sebanyak tujuh buku teks Jais berjaya diterjemahkan ke bahasa Cham bagi menghidupkan semula bahasa ibunda masyarakat Melayu Cham, selain penguasaan bahasa Khmer yang semakin dominan dalam kalangan remaja di sana.
Hasil pelaksanaan sistem tersebut, seramai 3,000 murid kini mengikuti pendidikan agama berstruktur di bawah Pejabat Mufti Kemboja, manakala calon PSAR meningkat kepada sekitar 600 orang setahun berbanding hanya beberapa ratus pada fasa awal.
“Angka itu semakin ramai dan sangat membanggakan,” kata Muhammad Asmadi.


