134 petak sawah padi musnah akibat ribut, hujan lebat, petani kerugian besar

1 Dis 2025, 1:01 PM
134 petak sawah padi musnah akibat ribut, hujan lebat, petani kerugian besar
134 petak sawah padi musnah akibat ribut, hujan lebat, petani kerugian besar
134 petak sawah padi musnah akibat ribut, hujan lebat, petani kerugian besar
134 petak sawah padi musnah akibat ribut, hujan lebat, petani kerugian besar

SEKINCHAN, 1 DIS: Puluhan petani di kawasan Sekinchan dan sekitarnya mengalami kerugian selepas 134 petak sawah padi yang menunggu masa dituai musnah akibat ribut dan hujan lebat minggu lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Dato’ Ng Suee Lim berkata kejadian itu melibatkan kawasan Sekinchan, Sungai Leman dan Pasir Panjang, dengan Sekinchan merekodkan 70 petak sawah yang paling teruk terjejas.

“Sebahagian besar padi musnah akibat banjir, menyebabkan lebih 70 hingga 90 peratus hasil tidak dapat dituai,” katanya ketika meninjau keadaan sawah di Parit 6, Sekinchan.

Beliau menjelaskan, bencana itu berlaku ketika musim menuai pada bulan November sedang berlangsung, menyebabkan harapan petani untuk memperoleh hasil musnah sekelip mata.

Namun begitu, beliau memberi jaminan petani yang terjejas akan dibantu untuk membuat tuntutan di bawah Skim Takaful Tanaman Padi yang diperkenalkan kerajaan persekutuan.

“Melalui skim ini, pampasan maksimum yang boleh diperoleh ialah RM3,000 bagi setiap petak sawah. Walaupun tidak dapat menampung keseluruhan kerugian, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Kampung C Sekinchan, Gan Jian Weng berkata daripada 70 petak sawah yang terjejas di Sekinchan, 28 petak berada dalam Sekinchan dan 42 lagi di Sungai Leman, manakala selebihnya di Pasir Panjang.

“Setiap petak sawah kira-kira tiga ekar dan kos penanaman mencecah antara RM10,000 hingga RM12,000. Kini, hanya 10 hingga 30 peratus hasil boleh dituai,” katanya.

Tambah beliau, sebahagian hasil padi yang musnah itu sebelum ini digunakan untuk bekalan benih ke negeri lain dan sekiranya gagal dituai, ia hanya boleh dijual sebagai beras biasa, sekali gus mungkin menjejaskan bekalan beras nasional.

Gan berkata mereka sudah menasihatkan petani mengambil gambar kerosakan dan membuat laporan polis sebelum menyerahkan maklumat kepada koperasi pertanian untuk tindakan lanjut.