SHAH ALAM, 1 DIS: Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) bagi melancarkan aliran trafik di kawasan tepi jalan serta memastikan akses lebih teratur di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur mula dikuatkuasakan hari ini.
Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam kenyataan memaklumkan, VAMS menawarkan caj percuma untuk kenderaan yang menghantar atau mengambil penumpang dalam tempoh kurang 10 minit, manakala caj penalti dikenakan untuk minit berikutnya.
Bagi tempoh 10:01–15:00 minit, penalti ditetapkan RM10; 15:01–20:00 minit (RM30); 20:01–25:00 minit (RM60); dan 25:01–30:00 minit (RM100).
Menurut MAHB, VAMS menggunakan teknologi pembaca nombor pendaftaran automatik (LPR) untuk merekod masa masuk setiap kenderaan.
“Tempoh ihsan 10 minit disediakan untuk urusan menghantar atau mengambil penumpang dengan cepat. Skrin digital turut memaparkan nombor pendaftaran kenderaan yang melebihi had masa tersebut.
“Semasa keluar, sistem mengira tempoh keseluruhan secara automatik dan penalti sehingga maksimum RM100 akan dikenakan sekiranya tempoh melebihi had.
“Pembayaran boleh dibuat menggunakan Touch ‘n Go, kad kredit atau MyDebit,” katanya.
MAHB menjelaskan, pelaksanaan sistem itu bertujuan mempercepat kelancaran trafik di kawasan tepi jalan (kerbside), mengurangkan kesesakan, membendung aktiviti ulat teksi serta meningkatkan keselamatan kawasan terminal.
“Fasa percubaan menunjukkan perubahan ketara dalam tingkah laku pemandu apabila jumlah kenderaan yang melebihi had 10 minit menurun daripada 50 peratus kepada 21 peratus dalam tempoh tiga bulan.
“Ia menunjukkan tahap kerjasama pengguna yang tinggi dan pengurangan kesesakan secara signifikan. Data percubaan turut mengesahkan keperluan untuk beralih kepada penguatkuasaan penuh secara berfasa,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, data percubaan menunjukkan kawasan kerbside menjadi lebih teratur apabila pemandu mematuhi had masa 10 minit.
“Dengan penguatkuasaan penuh bermula 1 Disember di Terminal 1, kita memastikan akses ke terminal lebih teratur dan semua pengguna mendapat peluang sama rata untuk menggunakan laluan menghantar dan mengambil penumpang dengan lebih cekap.
“Konsistensi ini penting menjelang musim puncak perjalanan hujung tahun dan persediaan ke arah Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.



