Bau & Warna

29 Nov 2025, 12:31 AM
Bau & Warna

kota berbau debu & warna kelabu.

ia tak sekalipun menukar bau

menyalin warna kepada sesuatu

yang lebih menyenangkanmu.

aroma ros misalnya. juga

warna merah jambu. kauterima

segala yang dibenci & menolak setiap

yang diimpi. demi hidup. demi hidup

yang berbau debu & berwarna kelabu

lantaran itu kau menjadi penguasa

lalu berhati-hati mencatur mangsa

& mengatur seteru, secermatnya

menentu siapa harus kautentang

& apa yang mesti kautatang

membezakan antara hering – helang

sang serigala dari kawanan biri-biri

kausingkir semua musuhmu

seperti memadam api kecil

pada timbunan jerami

di kerusi, kauhitung untung

& membilang wang, lupa

mengira usia yang sisa.

waktu telah mengubah seluruh dirimu

seorang manusia kepada reptilia

dari nurbisa menjadi racun bisa

& kau rela menelannya.

kini kaumiliki segala.

buatlah sesuka hatimu

bukankah kau berhak memilih

bau & warna

makammu?

A’riff Mustaffa Hamzah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.