Di sebalik kejayaannya hari ini, siapa sangka pengacara dan pelantun suara latar popular, Nani Roslan suatu ketika dahulu berdepan kesukaran membaca dan menulis.
Situasi dipanggil disleksia dilalui wanita berusia 38 tahun itu sejak di bangku sekolah menyebabkan dirinya sering dimarahi guru dan menjadi mangsa buli.
"Waktu sekolah dahulu saya seorang pelajar yang selalu kena marah. Cikgu cakap saya bodoh dan jadi mangsa buli sebab saya tidak tahu membaca dan menulis," katanya dalam program Siapa Tahu? terbitan Media Selangor.
Nani akui pengalaman itu tidak pernah dilupakan malah menjadi titik tolak untuknya mencabar diri sendiri dan membuktikan betapa kekurangan bukan alasan untuk gagal.
“Saya nak buktikan pada semua yang pernah pandang rendah bahawa orang disleksia pun boleh berjaya.
“Saya nak tunjuk saya mampu jadi pembaca berita, mampu baca 'prompter' walaupun dulu saya ada disleksia,” ujarnya.
Disleksia ialah gangguan pembelajaran khusus yang menjejaskan keupayaan membaca, menulis dan mengeja walaupun mempunyai tahap kecerdasan normal.
Gangguan ini bukan penyakit, sebaliknya berpunca daripada cara otak memproses maklumat bahasa secara berbeza.
Individu yang menghidap kelainan ini sering kelihatan ‘lambat belajar’, sedangkan mereka sebenarnya bijak dalam bidang lain seperti seni, komunikasi atau muzik.
Nani disahkan menghidap disleksia tahap ringan pada usia lapan tahun, namun dia bersyukur mendapat sokongan penuh keluarga yang memahami keadaannya.
“Mak saya tidak pernah marah, dia sokong apa saja minat saya. Dia beri peluang apa sahaja yang saya mahu lakukan termasuk tidak terlalu memaksa dalam bidang akademik," katanya.

Suara jadi sumber rezeki
Tidak pernah terlintas di fikiran Nani suatu hari nanti kerjayanya bergantung pada suara. Semuanya bermula secara tidak dirancang ketika beliau memulakan karier sebagai wartawan penyiaran pada 2010.
Bidang kewartawanan membuka pelbagai pintu baharu dalam hidupnya termasuk dunia suara latar.
“Sebagai wartawan, sebahagian tugas kami ialah buat 'voice over' untuk berita. Dari situlah semuanya bermula.
"Ada kawan dari radio kata suara saya sesuai buat 'voice over'. Dia ajak saya datang studio dan cuba,” jelasnya.
Tidak menyangka percubaan itu menjadi langkah pertama ke dunia profesional, Nani mula menerima tugasan suara latar secara dalaman di bawah konglomerat media tempatnya bekerja.
Selain kerja tetap sebagai wartawan, wanita itu turut mengambil tugasan luar sebagai pengacara majlis dan pelantun suara komersial.
Selepas lebih sedekad dalam industri, Nani membuat keputusan untuk meninggalkan dunia kewartawanan dan memberi tumpuan penuh pada bidang pengacaraan dan suara latar profesional serta membuka syarikatnya, NaniRoc Talents Enterprise.
“Alhamdulillah, kerjaya saya hari ini hasil ‘scout’ orang sekeliling yang percaya dan tolong saya berani mencuba benda baharu,” katanya.

Kerjaya belum diberi pengiktirafan
Nani turut bergerak aktif sebagai ahli jawatankuasa Voice Guild Malaysia (VGM), pertubuhan yang memperjuang hak serta kebajikan pelantun suara profesional di negara ini.
Beliau mengakui industri suara di Malaysia sebenarnya mempunyai potensi besar untuk berkembang, namun belum diberi pengiktirafan sewajarnya.
"Pasaran bahasa Inggeris pula lebih stabil dan menawarkan bayaran setimpal berbanding pasaran bahasa Melayu yang masih berdepan isu bayaran rendah dan pembayaran culas.
"Kadang-kadang bayaran rendah, ada juga yang lambat bayar. Sebab itu VGM wujud, untuk bantu ahli dan lindungi mereka daripada kena tipu,” katanya.
VGM turut berperanan menetapkan kadar harga standard (rate card) sebagai panduan kepada penggiat industri dan agensi pengiklanan supaya tidak menindas bakat suara tempatan.
“Kita ada lebih kurang 160 ahli sekarang. Dalam laman web kita pun ada pengira kadar bayaran (rate calculator) supaya orang boleh semak berapa kadar yang sesuai untuk kerja mereka.
“Sebenarnya peluang dalam bidang ini sangat luas. Ada buku audio, narasi, iklan komersial, sistem jawapan suara interaktif (IVR) dan video korporat.
"Cuma orang tidak nampak kerana masih ramai yang belum benar-benar memahami industri ini,” ujarnya.


