KUALA LUMPUR, 25 NOV: Debaran jelas terpancar pada wajah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 ketika mereka melangkah ke pusat peperiksaan pada hari pertama ujian bertulis hari ini dengan harapan segala persiapan dan usaha mereka membuahkan hasil cemerlang.
Bagi ibu bapa yang menghantar anak masing-masing, perasaan mereka jauh lebih bergolak, diiringi doa agar anak mereka dapat menjawab soalan dengan lancar dan mendapat kejayaan cemerlang.
Pekerja bebas Dinihariyanti Rusman, 51, berkata pengalaman menghantar anak untuk menduduki SPM buat kali pertama sukar untuk digambarkan.
“Semangat itu tak tahu nak cakap apa … takut ada, risau ada. Tapi tak boleh tunjuk depan anak,” katanya kepada pemberita ketika menghantar anak perempuannya yang berusia 17 tahun untuk menduduki peperiksaan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Kiaramas, di sini.
Beliau berkata sebagai seorang ibu, sokongan emosi amat penting khususnya buat anaknya itu yang juga antara calon kumpulan pertama yang tidak pernah melalui sebarang peperiksaan besar sebelum ini.
Suri rumah Zanariah Salleh, 54, tidak dapat menyembunyikan rasa syukur apabila anaknya yang juga calon Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), berjaya sampai ke detik penting itu seperti pelajar lain.
“Syukur dia dapat menduduki persediaan SPM. Saya yakin, insya-Allah, dia akan buat yang terbaik kerana usaha ditunjukkan,” katanya.
Zanariah berkata anaknya Muhammad Akif Umar Amir Mahamud, 18, yang menghidap mild autism, mempunyai perkembangan membanggakan dan potensinya jelas kelihatan melalui minat dan kesungguhan yang ditunjukkan sejak dua tahun kebelakangan ini.
“Sebagai seorang ibu, tentu kita mahu anak berjaya dengan cemerlang. Doakan semua anak-anak yang menduduki peperiksaan hari ini dipermudah dan berjaya,” katanya.
Di sebalik debaran dan harapan besar ibu-ibu berkenaan, mereka sepakat bahawa yang paling penting adalah mempercayai kemampuan anak-anak serta terus menjadi sumber kekuatan mereka.
Peperiksaan bertulis SPM 2025 bermula hari ini dengan Bahasa Melayu Kertas 1 pada 8.15 pagi, diikuti Pendidikan Seni Visual - Teori Seni Kertas 1 pada 11.45 pagi dan Bahasa Melayu Kertas 2 pada 2.30 petang.
- BERNAMA







