SHAH ALAM, 18 NOV: Kajian aspirasi Selangor @ 100 akan digerakkan melalui kerjasama strategik melibatkan universiti, pakar teknologi tinggi dan pemain industri bagi merangka hala tuju pembangunan negeri hingga 2057.
Pengarah Selangor Research Institute (SRI), Ammar Gazali, berkata peruntukan RM2 juta dalam Belanjawan Selangor 2026 menjadi pemangkin kepada kajian awal melibatkan pakar kecerdasan buatan (AI), teknologi nuklear, semikonduktor dan teknologi masa depan yang bakal membentuk ekonomi moden negeri.
“Ia akan digunakan untuk mengukuhkan kerjasama dengan universiti dan pakar berkaitan. Deep technology adalah elemen penting Selangor @ 100 dan memerlukan sesi libat urus serta kajian mendalam dengan pemain industri.
“Bentuk kajian awal lain turut merangkumi pelbagai bidang strategik seperti sosioekonomi, kebudayaan dan pentadbiran negeri,” katanya kepada Media Selangor.
Menurut Ammar, SRI akan memulakan siri kajian dan sesi libat urus berterusan selari dengan keperluan dasar masa depan yang diumumkan Dato’ Menteri Besar pada pembentangan Belanjawan Selangor 2026.
“Dato’ Seri Amirudin Shari ada menyebut perlunya kajian berkaitan nuklear. Jadi peranan SRI adalah membuat engagement dengan pemain industri dan pakar-pakar terlibat. Ia bukan sekali, akan ada siri libat urus sebelum laporan atau dasar dibangunkan,” katanya.
Mengulas sama ada laporan asas akan diterbitkan, beliau memaklumkan bahawa tahun 2026 merupakan permulaan bagi membina garis dasar sebelum pelan terperinci dimuktamadkan.
“Tahun hadapan adalah permulaan libat urus dan pencarian garis dasar untuk menentukan fokus. Proses itu mengambil masa, dan kemungkinan pada 2027 kita boleh ada pelan lebih konkrit,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa peruntukan RM2 juta itu merupakan dana permulaan bagi memulakan siri kajian serta kerjasama strategik berkenaan.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan SRI akan menerajui Program Selangor @ 100 sebagai kompas strategik untuk memastikan pembangunan negeri memberi manfaat jangka panjang sehingga 2057. Inisiatif itu menerima dana RM2 juta bagi menjalankan penyelidikan mendalam, libat urus bersama pemegang taruh dan analisis trend global.


