SHAH ALAM, 18 NOV: Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada pembangunan sumber manusia dalam tempoh lima tahun sebagai persediaan pelaksanaan tenaga nuklear.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pegawai dan pelajar yang berminat akan dihantar mengikuti pengajian berkaitan pengurusan nuklear di Universiti Harbin dan Universiti Tsinghua, China.
“Pada peringkat awal, kita akan menumpukan kepada pembinaan kapasiti sumber manusia. Kita akan hantar pegawai atau pelajar yang berminat, khususnya dalam penjanaan kuasa melalui nuklear.
“Lima tahun yang saya sasarkan itu adalah untuk memulakan pembangunan kapasiti, pelan tindakan dan strategi yang akan dirangka secara komprehensif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Wanita Berdaya Selangor dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Amirudin berkata bidang tenaga nuklear di Malaysia masih kurang diterokai, dan pergantungan kepada import boleh meningkatkan kos pada masa depan.
“Kita perlu bersedia demi masa depan dan tidak boleh hanya bergantung kepada bahan api fosil seperti gas dan arang batu yang tidak mampan berbanding nuklear,” katanya.
Semalam, dalam sesi soal jawab Sidang Dewan Negeri Selangor, beliau menjangka tempoh paling awal lima tahun diperlukan sebelum pelaksanaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih.
Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2026, Amirudin mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Kerja Bersama Tenaga Nuklear Selangor dengan peruntukan RM1 juta bagi menilai keberkesanan tenaga nuklear berdasarkan perkembangan teknologi sektor berkenaan.


