ad

Antara potensi dan penilaian murid: Melampaui naratif ‘generasi burung kakak tua’

17 Nov 2025, 1:00 AM
Antara potensi dan penilaian murid: Melampaui naratif ‘generasi burung kakak tua’

Isu cadangan pengembalian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) telah mencetuskan debat yang hangat, termasuk kenyataan terkini ketua pengarah pendidikan Malaysia yang membangkitkan kebimbangan akan lahirnya ‘generasi burung kakaktua’ andai peperiksaan ini dikembalikan.

Walaupun saya menghormati sepenuhnya pandangan beliau dan memahami sebaiknya kebimbangan di sebalik kenyataan ini, saya cenderung untuk kurang bersetuju dengan generalisasi ini. Ianya bukan kerana saya tidak melihat risikonya, tetapi kerana naratif sedemikian secara tidak sengaja boleh mengehadkan imaginasi kita untuk membina sebuah sistem penilaian yang benar-benar holistik dan adil.

Kenyataan ‘generasi burung kakak tua’ berasaskan andaian bahawa kewujudan satu peperiksaan pusat secara automatik akan memundurkan pedagogi kepada budaya menghafal dan ‘drill’. Ini hanyalah satu kemungkinan, dan bukan satu kemestian.

Gelagat murid-murid sekolah yang dirakam pada hari pertama sesi persekolahan 2023/2024 di Sekolah Kebangsaan Seberang Ramai, Kuala Perlis, pada 20 Mac. Foto BERNAMA

Masalah sebenar bukan terletak pada kewujudan alat penilaian, tetapi pada budaya pendidikan dan reka bentuk sistem yang kita bina di sekelilingnya.

Kita harus yakin bahawa kita mampu untuk membina sebuah mekanisma penilaian yang tidak membunuh kreativiti, sebaliknya dapat mengukur penguasaan asas ilmu serta kemahiran insaniah secara seimbang.

Saya mengambil maklum bagaimana hasrat murni pemansuhan UPSR untuk mengurangkan tekanan, kadangkala disalahertikan di lapangan. Tanpa satu penanda aras yang standard, terdapat ketidakseragaman yang ketara dalam pentaksiran prestasi murid di seluruh negara.

Ini menyukarkan usaha untuk membuat intervensi yang tepat dan saksama, khususnya untuk membantu sekolah dan murid yang paling memerlukan.

Justeru, pengembalian semula satu bentuk penilaian pusat di peringkat darjah enam, jika direka dengan kefahaman dan mekanisme yang betul, adalah suatu keperluan.

Membezakan antara alat dan falsafah

Calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mula menduduki peperiksaan pada hari pertama peperiksaan bertulis SPM 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Bangi pada 2 Januari 2025. Foto BERNAMA

Tuduhan bahawa peperiksaan hanya melahirkan ‘penghafal’ adalah satu dikotomi yang terlalu mudah. Persoalan yang lebih penting ialah: Apa yang kita uji? Dan Bagaimana kita menguji?

UPSR atau apa sahaja peperiksaan berpusat peringkat nasional yang baharu tidak seharusnya dan tidak semestinya menguji hafalan semata-mata, ataupun sekadar melihat penguasaan 3M sahaja. Ianya boleh dan harus direka bentuk untuk menguji pemikiran kritis, kemahiran menyelesaikan masalah, mencungkil potensi, dan literasi digital.

Soalan-soalan berbentuk aplikasi, analisis, dan penilaian yang memerlukan murid menaakul, bukan sekadar mengingat, adalah kunci untuk mengelakkan sindrom ‘burung kakak tua’.

Dalam erti kata lain, alat itu sendiri boleh menjadi pemangkin kepada perubahan pedagogi di dalam bilik darjah, mendorong guru untuk mengajar cara berfikir, cara menyelesaikan masalah, cara melihat dunia dan kehidupan dengan cara pandang yang betul dan bukan semata-mata cara menghafal.

Budaya ‘exam-orientation’ yang tidak sihat itu sebenarnya dipacu oleh tekanan daripada ibu bapa, carta liga sekolah, dan sistem yang terlalu mementingkan output berbanding proses.

Pelajar ceria selepas selesai menduduki kertas peperiksaan terakhir hari ini pada Majlis Kesyukuran Pengurusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2020 di Kolej Sultan Abdul Hamid di Alor Setar, Kedah pada 25 Mac 2021. Foto: BERNAMA

Inilah akar umbi masalah yang perlu kita betulkan, bukannya menyalahkan alat penilaian itu sendirian. Dengan dasar, komunikasi, dan pelaksanaan yang betul, kita mampu membendung budaya ini walaupun dengan kewujudan satu ujian pusat.

Di sini anjakan paradigma dan peranan media amat diperlukan untuk mendidikan ibu bapa, guru-guru, para pemimpin dan Masyarakat secara amnya.

Memanfaatkan teknologi untuk penilaian autentik

Di sinilah visi dan imiginasi kita untuk pendidikan masa depan memainkan peranan.

Sejak dari dahulu lagi, saya telah memperjuangkan integrasi teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), Big Data, dan Machine Learning dalam Pendidikan melalui penubuhan Jawatankuasa Dataraya KPM pada tahun 2019 yang telah dibubarkan sejurus bertukarnya Kerajaan, dan juga melalui ‘New Education Model’ yang dicadangkan oleh JK Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKDPN).

Peserta terlibat dalam aktiviti pada program kerjasama model keusahawaan antara USM dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Petaling Jaya pada 2 Oktober 2025. Foto MBPJ

Pengembalian peperiksaan Baharu seumpama UPSR bagi murid darjah enam adalah peluang emas untuk kita melaksanakannya.

Bayangkan sebuah sistem penilaian baharu di mana kecerdasan buatan (AI) digunakan untuk mencipta ‘ujian adaptif’ yang soalan-soalannya berkembang mengikut tahap keupayaan setiap murid.

Ini menjadikan penilaian itu satu pengalaman pembelajaran yang personal, bukan sekadar ujian standard yang kaku. Selain itu, Big Data digunakan menganalisis keupayaan dan potensi holistik murid dan pencapaiannya sepanjang enam tahun, di samping digunakan untuk menilai keputusan UPSR bukan untuk mencipta ranking, tetapi untuk mengenal pasti potensi murid, ruang kekuatan murid, serta ‘hotspot’ kelemahan akademik yang memerlukan bantuan sumber dan latihan guru yang khusus secara individual, sekolah dan malah negeri.

Manakala Machine Learning pula boleh menganalisis corak kerja-kerja murid, projek-projek yang dilaksanakan, keterlibatan mereka lewat aplikasi DELIMA dan juga jawapan murid dalam kuiz-kuiz dan peperiksaan sepanjang enam tahun dan juga Ketika menduduki peperiksaan sumpama UPSR pada darjah enam boleh digunakan untuk memahami jurang pemahaman konsep yang spesifik, seterusnya membolehkan guru memberikan bantuan yang lebih tepat sebelum murid melangkah ke sekolah menengah.

Dengan pendekatan ini, UPSR yang baharu bukan lagi sekadar peperiksaan, tetapi sebuah ‘sistem diagnostik nasional’ yang canggih dan berprihatin.

Dari naratif kekangan kepada naratif potensi

Kontinjen pembawa bendera negeri pada perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 yang bertemakan “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2023. Foto Bernama

Oleh itu, adalah tidak adil untuk kita mengaitkan semula kewujudan peperiksaan nasional darjah enam seumpama UPSR dengan kelahiran ‘generasi burung kakak tua’. Generalisasi sebegini menutup pintu kepada kemungkinan untuk kita mencipta sebuah alat penilaian yang progresif dan bermakna.

Marilah kita melangkah keluar dari dikotomi ini. Mari kita gunakan kebijaksanaan dan teknologi yang kita ada untuk membina sebuah mekanisme penilaian pusat yang berfungsi sebagai kompas untuk sistem pendidikan kita, iaitu satu kompas yang bukan sekadar menunjukkan arah, tetapi membantu kita memahami kedalaman dan luasnya lautan potensi yang dimiliki oleh setiap anak Malaysia.

Tugas kita adalah membina sistem yang mempercayai keupayaan murid untuk berfikir, bukan sistem yang terlalu takut sehingga memilih untuk tidak mengukur apa-apa langsung.

 *Maszlee Malik adalah bekas menteri pendidikan