SHAH ALAM, 14 NOV: Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) akan diperkukuh dengan pendekatan lebih komprehensif, termasuk perluasan intervensi ke sekolah-sekolah di seluruh negeri mulai tahun depan.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu selari dengan aspirasi Selangor sebagai negeri yang peduli dan progresif dalam aspek kesihatan awam, khususnya ketika isu kesihatan mental semakin ketara dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, pelaksanaan SEHAT pada tahun hadapan merangkumi pendekatan pencegahan, intervensi awal, rawatan dan pemulihan, dengan fokus baharu kepada pelajar sekolah melalui modul sokongan serta program pemerkasaan guru.
"Modul itu memberi kemahiran asas komunikasi bagi membantu pelajar berisiko dibuli atau menjadi pembuli, selain melatih komuniti mengenal pasti tanda awal krisis kesihatan mental.
“Program ini turut memberi perhatian kepada pelajar yang berdepan tekanan, kemurungan dan keresahan melalui sokongan komuniti yang lebih tersusun,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026.
Kerajaan Negeri turut menambah baik rangkaian bantuan sedia ada, termasuk Talian SEHAT, subsidi rawatan psikiatri merangkumi sesi bersama pakar dan ubat-ubatan, serta perkhidmatan Kaunselor Hab SEHAT di setiap daerah bagi menyediakan kaunseling bersemuka secara percuma setiap minggu.
Bagi memastikan keseluruhan inisiatif berjalan lebih berkesan dan tersusun, Kerajaan Negeri meningkatkan peruntukan program SEHAT daripada RM700,000 kepada RM1.5 juta, sekali gus menempatkan Selangor sebagai negeri terkehadapan dalam memperkukuh kesihatan mental rakyat secara holistik dan inklusif.
Kerajaan Negeri melancarkan SEHAT dengan peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik Covid-19 melanda.
Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.
Pada 2024, EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin ketika sidang Dewan Negeri Selangor memaklumkan sebanyak 10,459 kes gangguan mental dirujuk ke klinik kesihatan daerah dalam tempoh empat tahun dari 2020 hingga 31 Mac tahun sama.
Tahun 2020 merekodkan 1,858 kes diikuti 2021 (1,942), 2022 (2,065), 2023 (2,297) dan untuk 2024 hingga 31 Mac, 2,297 kes dilaporkan.


