Kerajaan Persekutuan tidak rayu keputusan 40 peratus hasil Sabah, mula rundingan segera

11 Nov 2025, 1:48 PM
Kerajaan Persekutuan tidak rayu keputusan 40 peratus hasil Sabah, mula rundingan segera

SHAH ALAM, 11 NOV: Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah.

Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa susulan keputusan tersebut, Kerajaan Persekutuan akan memulakan rundingan segera dengan Kerajaan Sabah bagi melaksanakan peruntukan seperti ditetapkan dalam perlembagaan.

“Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang diadakan hari ini membincangkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas Negeri Sabah yang diputuskan dalam permohonan semakan kehakiman oleh Persatuan Undang-Undang Sabah terhadap Kerajaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip pemberian khas 40 peratus hasil Sabah, sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Peguam Negara turut memberi nasihat kepada Jemaah Menteri berhubung beberapa kecacatan dalam alasan penghakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi.

"Antaranya dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah telah menyalahgunakan kuasa serta melanggar kewajipan perlembagaan sejak tahun 1974," katanya.

Selain itu, AGC menjelaskan bahawa alasan penghakiman turut menyatakan Kajian Semula selepas 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, tidak mengikut prosedur dan tidak berkadaran.

“Kerajaan Persekutuan akan merayu berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman tersebut,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan serta membayar semula hak tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh daripada Sabah.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS) terhadap Kerajaan Persekutuan.

Hakim Datuk Celestina Stuel Galid yang bersidang ketika itu, mengarahkan Kerajaan Persekutuan melaksanakan semakan kadar pemberian khas dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan pembayaran dengan Kerajaan Sabah dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.