Mereka panggil aku kambing
kerana bauku menyinggung
harum nama keluarga.
Kulit ini legam berkerak
bersalut luka nanah kuning
yang tak sempat kering.
Kulahir saat tubuh ibu
kerepot lagikan renta.
Abang-abang sama kakak-kakak
sudah terbang ke bumi empat musim
bersayap ilmu di tanah asing.
Sedang aku pula di sini
terperangkap dalam beg karung
seorang “bapa saudara”
yang bukan darahku sepenuhnya.
Tuhan
berapa lama lagi harus kutunggu
sebelum layak menjadi
penghuni langit sana.
Aku ini hanya manusia
yang lahir pada salah waktu
dari rahim yang terlalu lelah
untuk melawan takdir negara
berbalah antara satu sama lain.
Mudin Haiqal




